Che Puan Sarimah Ibrahim baru-baru ini meluahkan pandangannya terhadap sikap segelintir penonton yang gemar mengkritik drama tempatan tanpa mengikuti keseluruhan jalan cerita. Menerusi perkongsian di Threads, beliau menegaskan bahawa setiap karya membawa mesej tersendiri yang wajar difahami terlebih dahulu sebelum dinilai.
Menurut beliau, industri drama tempatan sebenarnya berusaha keras untuk menghasilkan karya terbaik walaupun berdepan pelbagai kekangan. Baginya, industri hiburan tempatan masih kecil dan memerlukan sokongan daripada penonton sendiri. Beliau turut menegaskan agar masyarakat tidak terlalu mudah memperlekehkan industri sendiri kerana penambahbaikan sentiasa dilakukan dalam kemampuan yang ada oleh setiap pasukan produksi.
Dalam masa sama, beliau menyentuh kecenderungan sesetengah pihak yang sering membandingkan drama tempatan dengan produksi luar negara. Katanya, setiap penonton mempunyai selera tersendiri dan tidak semua karya perlu dinilai dengan piawaian yang sama, apatah lagi jika perbandingan tersebut dibuat secara melulu tanpa memahami konteks sesebuah karya.
Beliau turut menjelaskan bahawa banyak kisah yang dipaparkan dalam drama sebenarnya mencerminkan realiti kehidupan sesetengah masyarakat. Bagi sebahagian penonton, cerita-cerita ini menjadi ruang untuk memahami emosi dan membantu mereka memproses pengalaman hidup serta perasaan yang sukar diluahkan.
Selain itu, beliau mengingatkan penonton supaya menonton sesebuah siri sehingga tamat sebelum membuat sebarang penilaian. Menurutnya, pemahaman yang menyeluruh hanya dapat diperoleh apabila keseluruhan cerita diikuti dari awal hingga akhir, sekali gus membolehkan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan difahami dengan lebih jelas.
Perkongsian tersebut dilihat sebagai respons terhadap kritikan segelintir penonton yang mendakwa kebanyakan drama televisyen kini sering mengangkat tema yang sama seperti isu kecurangan atau konflik rumah tangga.
Sehubungan itu, penonton yang ingin mengikuti perkembangan cerita serta memahami mesej yang ingin disampaikan boleh menonton drama Bila Cinta Menjadi Dosa yang disiarkan di TV3 setiap Jumaat hingga Ahad pada pukul 9.00 malam. Drama 30 episod ini turut dibintangi Zamarul Hisham, Zairi Aziz, Alya Iman, Nelissa Nizam dan Elizad Sharifuddin.
Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal menerusi laman web Tonton atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.