Neraka Yang Terhijab Angkat Realiti Gelap Kehidupan dan Pengorbanan Seorang Anak

Seorang anak perempuan yang terdesak, seorang ibu yang uzur dan seorang bapa yang sanggup meruntuhkan masa depan anak sendiri demi kepentingan peribadi menjadi nadi kepada perjalanan penuh emosi dalam Neraka Yang Terhijab, sebuah siri Tonton Originals terbaharu yang mengupas sisi gelap kehidupan apabila pengorbanan menjadi satu-satunya pilihan untuk terus bertahan.

Siri ini bakal bersiaran bermula 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad dengan keseluruhan 20 episod, menampilkan barisan pelakon seperti Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman dan Arfie Shah. Ia diarahkan oleh Azri Izhar dengan nukilan cerita oleh Liza Nur, yang bersama-sama membentuk sebuah naratif yang sarat dengan konflik emosi dan realisme sosial yang dekat dengan masyarakat hari ini.

Mengangkat genre melodrama gelap dan realisme sosial, Neraka Yang Terhijab membawa penonton menyelami tekanan hidup, kemiskinan serta dilema moral yang semakin kabur apabila seseorang dihimpit keadaan. Watak utama, Adda, seorang pelajar universiti yang cuba meneruskan kehidupan selepas wang biasiswanya disalahgunakan oleh bapanya sendiri, Malik, menjadi titik permulaan kepada segala konflik yang berlaku.

Dalam usaha menyara kehidupan keluarganya yang semakin terdesak, Adda mula terdedah kepada dunia “The Floor”, sebuah ruang elit yang dipenuhi kemewahan, pesta dan individu berpengaruh. Walaupun pada awalnya menolak, tekanan hidup akhirnya memaksa Adda untuk menjalani kehidupan berganda sebagai wanita peneman kelas atasan demi kelangsungan hidup dan kewangan.

Kehidupan Adda semakin rumit apabila dia terperangkap dalam konflik dua beradik tiri, Annas dan Zakwan. Dalam permainan emosi dan manipulasi, Zakwan menggunakan Adda sebagai alat untuk menjatuhkan adiknya sendiri, manakala Annas pula mula melihat Adda sebagai lebih daripada sekadar seseorang yang dipergunakan. Namun dalam dunia penuh kepalsuan dan rahsia ini, persoalan utama terus menghantui, adakah masih ada ruang untuk Adda diselamatkan.

Bagi pelakon utama Ezzanie Jasny, watak Adda membawa beban emosi yang sangat berat kerana ia mencerminkan realiti ramai individu yang terpaksa membuat keputusan di luar jangkaan demi meneruskan kehidupan. Neraka Yang Terhijab bukan sekadar sebuah drama, tetapi cerminan kepada sisi kehidupan yang jarang diperkatakan secara terbuka.

Saksikan Neraka Yang Terhijab bermula 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, eksklusif di Tonton Originals. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.