Hock Kee Kopitiam terus mengorak langkah dalam pengembangan jenamanya apabila secara rasmi membuka cawangan pertama di Kota Bharu yang terletak di AEON Mall Kota Bharu, Kelantan. Sejak ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 2018, jenama ini menunjukkan perkembangan konsisten di seluruh negara dengan pelbagai pencapaian penting termasuk pembukaan cawangan pertama di Lembah Klang menerusi Bangsar South pada tahun 2023 serta kejayaan memperoleh pensijilan HALAL pada tahun 2024.
Majlis pembukaan rasmi berlangsung meriah dengan kehadiran Pengarah Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, En. Mohd Azwan Bin Ab Rahman, bersama Pn. Mastura Kamarudin selaku Leasing Assistant General Manager AEON CO. (M) BHD serta Pengurus AEON Mall Kota Bharu, En. Mohd Afnan Mohd Yusuf. Kehadiran duta pertama Hock Kee Kopitiam, Bella Astillah, turut menyerikan acara sekali gus menandakan langkah penting jenama itu memasuki pasaran Pantai Timur.
Bella bukanlah nama asing bagi Hock Kee Kopitiam kerana beliau sebelum ini pernah muncul sebagai “Friend of Hock Kee” ketika pembukaan salah satu cawangan jenama itu. Popular dengan imej mesra, tulus dan dekat dengan masyarakat, Bella akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai duta jenama ketika pembukaan outlet ke-17 Hock Kee Heritage di Medan Pasar. Personalitinya yang autentik dan disenangi ramai dilihat selari dengan identiti Hock Kee Kopitiam.

Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng berkata makanan yang baik tidak mengenal sempadan negeri. Menurut beliau, sesuatu hidangan yang benar-benar menggambarkan cita rasa Malaysia mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Beliau menyifatkan pembukaan di Kelantan sebagai satu langkah yang cukup bermakna dalam usaha memperkenalkan kekayaan budaya makanan Malaysia kepada lebih ramai komuniti.

Pengunjung di cawangan baharu ini bakal menikmati pelbagai menu yang menampilkan rasa autentik Malaysia. Antara hidangan popular yang menjadi pilihan ramai termasuk Nasi Lemak Banjir, Curry Laksa, Steamed Chicken Rice dan Satay Fried Kuey Teow. Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati menu istimewa dari Johor seperti Laksa Johor Asli, Soto Ayam bersama Nasi Impit dan Lontong.
Jenama ini dibangunkan berteraskan nilai muhibah yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Semangat perpaduan, hormat-menghormati dan kebersamaan dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama menjadi asas kepada perjalanan Hock Kee Kopitiam sejak awal penubuhannya. Makanan dilihat sebagai medium terbaik yang mampu menghubungkan masyarakat dan mencipta pengalaman yang lebih bermakna.
Hock Kee Kopitiam juga kekal komited menyediakan hidangan segar yang dimasak selepas pesanan dibuat. Sejak ditubuhkan, jenama itu tidak bergantung kepada makanan sejuk beku atau hidangan siap diproses. Dengan operasi dapur yang sistematik dan standard kebersihan yang tinggi, mereka memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman makan yang konsisten di semua cawangan.
Menjelang penghujung tahun 2026, Hock Kee Kopitiam menyasarkan pembukaan lebih banyak cawangan di seluruh negara. Mereka berharap setiap outlet dapat menjadi lokasi pertemuan selesa buat keluarga, pelancong dan masyarakat setempat. Di mana sahaja pelanggan berada, Hock Kee Kopitiam mahu terus membawa rasa nostalgia dan keselesaan melalui hidangan tempatan yang dekat di hati rakyat Malaysia.













