GRACE 2025: Mengiktiraf & Menghargai Rakan Industri Pelancongan Wilayah Timur

Tourism Malaysia Wilayah Timur hari ini menganjurkan program GRACE 2025 (Gathering of Recognition, Appreciation, Collaboration and Excellence 2025) bertempat di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu. Program ini bertujuan mengiktiraf peranan serta sumbangan besar rakan industri pelancongan yang telah bekerjasama erat dengan Tourism Malaysia Wilayah Timur. Kerjasama strategik ini menjadi tunjang utama dalam usaha membangunkan, mempromosi dan memasarkan Pantai Timur sebagai destinasi percutian pilihan utama di Malaysia.

Sektor pelancongan terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang memberangsangkan apabila Malaysia mencatatkan ketibaan 28.2 juta pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, meningkat sebanyak 14.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Pencapaian ini menjadi bukti nyata kepada sinergi kolektif yang diraikan melalui program GRACE 2025 dan menonjolkan peranan penting rakan industri di Wilayah Pantai Timur dalam memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi global pilihan.

Dalam usaha memperkasa sektor pelancongan di Wilayah Pantai Timur, Tourism Malaysia sentiasa menjalinkan kerjasama strategik bersama pemain industri dan pemegang taruh, termasuk pengusaha agensi pengembaraan dan pelancongan, pemilik produk, penyedia penginapan, syarikat penerbangan, penganjur acara, badan bukan kerajaan (NGO), aktivis pelancongan, serta kerajaan negeri. Kerjasama ini dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif seperti bengkel, khidmat nasihat, sesi libat urus, pameran, misi jualan, serta program galakan dan insentif pelancongan.

Hasil sinergi bersepadu sepanjang tahun 2025, Tourism Malaysia Wilayah Timur bersama rakan industri telah berjaya membangunkan sebanyak 145 pakej percutian yang dilancarkan secara rasmi sempena GRACE 2025. Pakej eksklusif ini merangkumi keunikan produk Pantai Timur seperti segmen ekopelancongan, pengembaraan lasak, gastronomi, budaya dan warisan, serta pelancongan minat khas.

Kepelbagaian aktiviti ini direka khusus bagi memenuhi keperluan pasaran domestik dan antarabangsa, sekali gus menjadi pemangkin utama dalam merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia (VM2026) yang menyasarkan ketibaan 47 juta pelawat antarabangsa selain merangsang lonjakan pelancongan domestik. Melalui kecemerlangan dan kerjasama berterusan para pemegang taruh yang diiktiraf pada majlis GRACE 2025, Wilayah Pantai Timur kini bersedia menjadi teraju utama kepada kejayaan nasional tersebut.

Selain itu, GRACE 2025 turut memberi pengiktirafan khas kepada pengamal media termasuk media cetak, elektronik dan digital atas sumbangan berterusan mereka dalam memperluas hebahan dan promosi Wilayah Pantai Timur sebagai destinasi percutian pilihan. Peranan media terbukti signifikan dalam menjayakan inisiatif promosi Tourism Malaysia Wilayah Timur dan menjadi tulang belakang kejayaan pelaksanaan VM2026.

Pengiktirafan dan apresiasi yang dizahirkan melalui GRACE 2025 mencerminkan komitmen berterusan Tourism Malaysia dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan industri. Usaha ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memartabatkan Malaysia secara amnya dan Wilayah Timur khususnya sebagai destinasi pelancongan unggul yang berdaya saing di persada global.