Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, tema #GiveToGain menekankan kepentingan amalan memberi yang mampu mencetuskan perubahan positif yang berkekalan, bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada diri sendiri. Pada tahun 2025, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan mencecah 34.2 juta orang, dengan bilangan lelaki melebihi wanita iaitu 18.0 juta berbanding 16.3 juta. Namun di sebalik angka tersebut, tersingkap satu realiti penting dalam masyarakat apabila wanita memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan seharian. Di kebanyakan isi rumah di Malaysia dan rantau Asia Pasifik, wanita bukan sahaja berperanan sebagai individu profesional di tempat kerja, malah turut menjadi pembuat keputusan di rumah serta sering menjadi tunjang emosi keluarga. Tanggungjawab yang pelbagai ini sering menyebabkan waktu makan yang tergesa-gesa, tidur yang tidak mencukupi serta tekanan yang meningkat, sekali gus menjadikan aspek kesihatan dan kesejahteraan diri sering terabai.
Dr Vipada Sae-Lao, Ketua Pendidikan dan Latihan Pemakanan Asia Pasifik di Herbalife berkata, sebagai ahli Lembaga Penasihat Dietetik Herbalife yang bekerja merentasi pelbagai budaya di rantau ini, beliau sering melihat satu hakikat yang sama iaitu apabila wanita melabur dalam kesihatan diri, manfaatnya turut dirasai oleh keluarga, tempat kerja dan generasi akan datang. Menurut beliau, pengalaman bekerjasama dengan wanita yang mengimbangi pelbagai tanggungjawab memperlihatkan bahawa tema #GiveToGain mengukuhkan satu realiti penting, iaitu menjaga kesihatan diri merupakan antara cara paling berkesan untuk mengekalkan tenaga dan daya tahan yang diperlukan bagi menyokong kerjaya serta keluarga.

Dari sudut kesihatan, wanita di rantau ini turut berdepan dengan ketidakseimbangan pemakanan yang ketara. Data terkini menunjukkan peningkatan berterusan kadar obesiti dalam kalangan orang dewasa, walaupun masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak serta anemia dalam kalangan wanita usia reproduktif masih berlaku. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024, kadar obesiti dalam kalangan wanita adalah lebih tinggi iaitu 27.5 peratus berbanding 19.3 peratus bagi lelaki. Keadaan ini memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan, daripada kesihatan ibu dan anak hinggalah kepada tahap tenaga serta daya tahan harian, sekali gus menonjolkan keperluan untuk wanita memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan diri melalui pilihan gaya hidup yang lebih bijak setiap hari.
Pemakanan seimbang merupakan asas penting dalam usaha mencegah penyakit, mengekalkan tahap tenaga, memastikan kestabilan metabolik, menguatkan daya tahan imun serta menyokong proses penuaan yang sihat sepanjang kitaran hayat wanita. Kajian menunjukkan bahawa kekurangan mikronutrien seperti zat besi, folat dan vitamin B12 masih lazim berlaku dalam kalangan wanita usia reproduktif di seluruh Asia walaupun pengambilan kalori adalah mencukupi. Selain itu, hidrasi juga memainkan peranan penting namun sering diabaikan dalam membantu tubuh menggunakan nutrien secara optimum serta mengekalkan fungsi harian. Amalan mudah seperti membawa bekalan air sendiri dan memilih minuman rendah gula dapat membantu memenuhi keperluan cecair harian sekitar dua liter, manakala pengambilan kafein secara sederhana memastikan hidrasi menyokong kesihatan secara keseluruhan.
Sepanjang kitaran hidup wanita, keperluan pemakanan turut berubah selari dengan perubahan hormon. Sebagai contoh, hanya kira-kira 33.5 peratus wanita mencapai pengambilan zat besi yang disyorkan berbanding 55.8 peratus lelaki. Ketika usia haid, kehilangan zat besi secara berkala meningkatkan keperluan terhadap makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging tanpa lemak, lentil, kacang, sayur berdaun hijau dan bijirin diperkaya. Pengambilan makanan ini bersama buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin C dapat membantu meningkatkan penyerapan zat besi dalam tubuh.
Peralihan ke fasa menopaus pula membawa perubahan hormon dan metabolik yang boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Oleh itu, pemilihan diet yang menyokong kesihatan jantung amat penting, termasuk pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh serta makanan kaya omega-3 seperti ikan berlemak, biji rami, kacang walnut dan kacang soya. Serat larut daripada makanan seperti kacang, oat, epal dan barli juga dapat membantu mengawal paras kolesterol serta memberikan rasa kenyang yang lebih lama, sekali gus menyokong pengurusan berat badan yang lebih sihat.
Memasuki usia 40-an, penurunan tahap hormon estrogen boleh mempercepatkan sarkopenia, iaitu kehilangan kekuatan otot yang berkaitan dengan peningkatan usia. Oleh itu, aktiviti fizikal yang mencukupi termasuk latihan rintangan secara berkala amat penting. Di samping itu, pengambilan protein yang mencukupi daripada sumber seperti daging tanpa lemak, ikan, kekacang, produk tenusu serta sumber berasaskan tumbuhan seperti tauhu, kacang dan biji-bijian dapat membantu mengekalkan jisim otot serta kekuatan fungsi tubuh. Dalam keadaan tertentu, suplemen juga boleh membantu menampung kekurangan nutrien, namun penggunaannya perlu disesuaikan dengan keperluan individu dan dipandu oleh profesional kesihatan atau jurulatih yang terlatih.
Selain pemakanan, faktor gaya hidup seperti tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal yang konsisten serta pengurusan tekanan turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan berat badan yang sihat serta kesegaran kulit. Apabila diamalkan secara berterusan, tabiat ini membantu mengekalkan keseimbangan hormon, kestabilan metabolik serta menyokong proses pemulihan semula jadi tubuh. Sekitar 150 minit aktiviti fizikal sederhana setiap minggu yang digabungkan dengan latihan rintangan mampu meningkatkan kesihatan kardiovaskular, mengekalkan ketumpatan otot dan tulang serta mendorong tidur yang lebih berkualiti, khususnya selepas menopaus. Amalan tidur yang konsisten serta pengurangan pendedahan kepada skrin sebelum tidur juga dapat membantu mengukuhkan kesihatan metabolik.

Pemakanan juga mempunyai kaitan rapat dengan kesejahteraan mental kerana ia dapat membantu meningkatkan daya tindak balas terhadap tekanan, memperbaiki kualiti tidur serta mengawal emosi. Diet yang kaya dengan asid lemak omega-3, waktu makan yang konsisten dan pengambilan air yang mencukupi, di samping mengehadkan bahan rangsangan tertentu, dapat menyokong keseimbangan emosi dalam kalangan wanita yang berdepan tekanan harian. Kajian turut menunjukkan bahawa wanita cenderung lebih stabil dari segi emosi apabila disokong oleh rangkaian sosial yang kukuh. Sokongan ini bukan sahaja membantu meningkatkan daya tahan terhadap tekanan, malah turut mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan.
Apabila wanita lebih sihat, keluarga turut berkembang dengan baik, komuniti menjadi lebih kukuh, tempat kerja mencapai prestasi lebih tinggi dan ekonomi menjadi lebih berdaya tahan. Secara keseluruhannya, kesejahteraan jangka panjang dibentuk melalui pilihan harian yang dibuat secara konsisten sebelum sebarang gejala kesihatan muncul. Memberi kepada diri sendiri melalui pemakanan yang seimbang dan penjagaan kesihatan pencegahan bukanlah tentang melakukan lebih banyak perkara, tetapi tentang membuat pilihan yang lebih bijak dan konsisten dalam kehidupan seharian.
Selamat Hari Wanita Antarabangsa. Semoga wanita Malaysia terus kekal kuat, sihat dan berdaya tahan.