Bagaimana jika klien pertama yang melangkah masuk ke firma guaman baharu anda sebenarnya adalah seorang hantu? Disiarkan serentak dengan Korea, siri drama Phantom Lawyer bakal menemui penonton bermula 13 Mac 2026 di platform Tonton, menggabungkan elemen drama guaman, fantasi, aksi, dan misteri dalam sebuah penceritaan yang penuh kejutan.
Diarahkan oleh Shin Joong-Hoon, drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Yoo Yeon-Seok, Esom, Kim Kyung-Nam, Jun Suk-Ho, dan Kim Mi-Kyung dalam sebuah kisah tentang keadilan yang melangkaui batas dunia manusia.

Phantom Lawyer mengikuti kisah Shin Yi-Rang (Yoo Yeon-Seok), seorang peguam yang baru membuka firma guamannya di sebuah rumah lama yang dahulunya dimiliki seorang bomoh. Tidak lama kemudian, Yi-Rang mula menyedari bahawa dirinya mempunyai keupayaan luar biasa apabila mampu melihat roh yang tidak dapat dilihat oleh orang lain.
Tanpa diduga, roh-roh yang masih menyimpan penyesalan dan urusan yang belum selesai mula datang kepadanya sebagai klien, memohon bantuan untuk menuntut keadilan yang tidak sempat mereka peroleh ketika hidup.
Dalam masa yang sama, Han Na-Hyun (Esom), seorang peguam elit dari firma guaman terkemuka yang dikenali dengan reputasi cemerlang dan rekod kemenangan hampir sempurna, mengalami perubahan apabila dia tewas dalam satu perbicaraan kepada Yi-Rang. Kekalahan ini secara tidak langsung mempertemukan mereka dalam dunia kes yang penuh misteri.

Pada awalnya, Na-Hyun sukar mempercayai keupayaan Yi-Rang, namun selepas berdepan sendiri dengan kejadian aneh yang sukar dijelaskan, dia mula membuka fikirannya. Mereka akhirnya berganding bahu menyelesaikan pelbagai kes rumit yang melibatkan rahsia antara dunia manusia dan alam ghaib.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Phantom Lawyer bermula 13 Mac 2026 di Tonton, disiarkan serentak bersama siaran Korea dengan episod baharu setiap Jumaat dan Sabtu, jam 10.30 malam.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti Tonton di Facebook, X, TikTok, dan Instagram di @tontonmy.













