Uji bakat Calpis Soda One In A Million (OIAM) di Kuala Lumpur telah mencetus fenomena luar biasa apabila nama-nama besar dalam industri seni tanah air turut mencuba nasib untuk merebut gelaran suara bernilai sejuta ringgit!
Pada hujung minggu lalu, lokasi uji bakat di AEON Mall Shah Alam dan Universiti Malaya dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular seperti Idayu, Salmah Asis, Zainal Alam Kadir, Raes Ariffin, Firman Hyper Act, Zaki Yamani, Ameerais, Kyra Bahar, Hariz Fayahet, Fareez Fauzi Mentor, dan ramai lagi. Kehadiran mereka membuktikan bahawa pentas ikonik ini masih relevan dan menjadi platform terbaik bagi mereka yang ingin terus bersinar dalam industri muzik.
Sesi uji bakat Calpis Soda One In A Million di Kuala Lumpur yang berlangsung pada 16 dan 17 November 2024 telah menerima sambutan luar biasa, dengan lebih daripada 2,000 orang hadir di dua lokasi tersebut. Acara ini menjadi medan pertemuan bakat dari seluruh Malaysia, mencetuskan suasana penuh semangat dan kehangatan. Ia juga menonjolkan keunikan pertandingan ini sebagai platform muzik yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menonjolkan bakat mereka.
Antara momen yang paling mencuri tumpuan ialah kemunculan semula legenda seni suara, Alina Hassan, yang kini berusia 56 tahun. Pemenang Passport Kegemilangan 1996 dan tempat ketiga Mentor Otai ini mengejutkan ramai dengan persembahannya yang luar biasa di AEON Mall Shah Alam. Penampilannya yang penuh karisma dan penghayatan telah menggamit memori indah serta memberi inspirasi kepada peserta lain. Alina membuktikan bahawa bakat sejati tidak akan pernah pudar, menjadikan kemunculannya sebagai salah satu detik bersejarah dalam OIAM tahun ini.
Di Universiti Malaya, duo istimewa yang dikenali sebagai DNA (Firdaus dan Adam Zikri), berjaya mencuri perhatian juri dan penonton dengan persembahan mereka yang penuh makna. Meskipun merupakan golongan orang kurang upaya (OKU), DNA membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk menyerlahkan bakat luar biasa. Persembahan mereka memukau Shaffiq Erwin dan AG Coco, di mana AG Coco turut menawarkan peluang rakaman lagu di studionya, tanda pengiktirafan terhadap kehebatan duo ini dalam menghasilkan karya seni yang tulen dan bermakna.
Uji bakat OIAM turut menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia, dengan kehadiran peserta dari pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, dan India. Acara ini menjadi lambang perpaduan apabila muzik bertindak sebagai bahasa universal yang menyatukan semua bangsa. Contohnya, seorang remaja berusia 16 tahun, Khaw Zhen Xuan, sanggup datang dari Pulau Pinang ke Universiti Malaya untuk mengejar impiannya, mendapat sokongan penuh daripada keluarganya. Kisah Zhen Xuan menjadi bukti bahawa semangat untuk berjaya tidak mengenal batasan usia atau lokasi.
Kemeriahan acara turut diserikan dengan penampilan istimewa bintang Famili Duo seperti Sharul Kamal, Zahid, Naqiu, dan Shiha Zikir, yang menghiburkan peminat dan memberikan sokongan moral kepada peserta. Persembahan memukau daripada Khai Bahar di AEON Mall Shah Alam juga menjadi salah satu kemuncak acara. Di Universiti Malaya, Amir Masdi dan kumpulan The Dukes tampil dengan persembahan bertenaga, sementara sesi ramah mesra bersama selebriti seperti Rita Nadira, Chacha Maembong, Imran Aqil, dan Shah Iskandar turut memeriahkan acara.
Uji bakat Calpis Soda OIAM akan diteruskan di Kuantan City Mall, Pahang, dan Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak, pada 23 dan 24 November 2024. Pengunjung di Kuantan akan disajikan dengan persembahan istimewa daripada Haqiem Rusli, manakala peminat di Kuching berpeluang menikmati persembahan memukau daripada Sufian Suhaimi. Barisan juri termasuk Indah Ruhaila, Sarah Ismail, dan Ara Johari di Kuantan, serta Bob Yusof dan Shaffiq Erwin di Kuching, bersedia untuk menilai bakat-bakat luar biasa di lokasi seterusnya.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan hadir, anda masih boleh menyertai uji bakat dalam talian dengan memuat naik video nyanyian berdurasi satu minit di TikTok menggunakan hashtag #CalpisOIAMTV3 dan #SegarRasaSodapSuara sehingga 24 November 2024.
Sertai kemeriahan Calpis Soda One In A Million di TV3 Disember ini, dalam pencarian suara bernilai sejuta ringgit seterusnya. Untuk maklumat terkini, ikuti @TV3Malaysia di semua platform media sosial dan rasai keterujaan bersama Calpis Soda, minuman soda kultur kegemaran anda. Maklumat lanjut boleh didapati di laman Facebook dan Instagram Calpis Soda. Jangan ketinggalan untuk menyertai perjalanan muzik yang epik ini!