Vanessa Reynauld, Jaclyn Victor Dan Barisan Hebat Gegar Pentas ‘Singer 2026 – Malaysia’

Dunia hiburan tempatan bakal diserikan dengan kemunculan program pertandingan muzik berskala antarabangsa, ‘Singer 2026 – Malaysia’, yang menghimpunkan barisan penyanyi berbakat besar tanah air. Antara nama yang paling mencuri perhatian ialah Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld apabila kedua-duanya diumumkan sebagai peserta utama program berprestij itu. Penyertaan mereka sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat muzik tempatan yang tidak sabar menyaksikan persaingan vokal hebat di pentas tersebut.

Dibawakan khas oleh Lausanjee sebagai penaja perdana dan Mah Sing sebagai penaja utama, program ini mula menjadi topik hangat di media sosial walaupun belum bersiaran secara rasmi. Persoalan mengenai siapakah penyanyi utama yang bakal beraksi menjadi antara perbualan paling rancak diperkatakan peminat sejak beberapa minggu lalu.

Bagi menjawab segala persoalan tersebut, majlis pelancaran rasmi ‘Singer 2026 – Malaysia’ telah berlangsung meriah di Pavilion Kuala Lumpur dengan kehadiran peminat serta pencinta muzik tempatan. Acara itu turut menyaksikan pengumuman barisan peserta utama yang bakal bersaing dalam musim pertama program berkenaan.

Selain Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld, beberapa lagi nama besar turut diumumkan termasuk Geraldine Gan, Uriah See, Nicole Lai dan Priscilla Abby. Keenam-enam penyanyi ini hadir dengan kekuatan vokal tersendiri serta pengalaman pentas yang luas, sekali gus menjadikan persaingan musim pertama ini lebih sengit dan dinanti-nantikan.

Program ini diterbitkan menerusi kerjasama antara Astro dan Mango TV, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kolaborasi hiburan serantau. Usaha ini turut mencerminkan komitmen Astro dalam memperkenalkan bakat tempatan ke peringkat lebih tinggi dan memberi peluang kepada penyanyi Malaysia untuk menembusi pentas antarabangsa menerusi francais ‘Singer’.

Menariknya, program ini masih membuka dua slot terakhir yang bakal diperebutkan menerusi episod pertama nanti. Hampir 30 penyanyi akan beraksi dalam pusingan penyingkiran yang dijangka penuh dramatik sebelum hanya dua peserta terbaik dipilih untuk melengkapkan senarai Top 8 pertandingan tersebut.

Bermula episod kedua, semua peserta akan bersaing secara langsung menerusi persembahan vokal yang bukan sahaja menguji teknik nyanyian, malah ketahanan mental, kreativiti dan karisma pentas masing-masing. Setiap persembahan akan dinilai oleh panel penonton, menjadikan pertandingan ini lebih telus dan mencabar buat semua peserta.

Sebagai edisi pertama yang memberi fokus kepada bakat Malaysia, ‘Singer 2026 – Malaysia’ bukan sekadar pertandingan hiburan semata-mata, malah menjadi platform penting dalam mengetengahkan penyanyi tempatan kepada audiens lebih luas. Penyertaan Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld juga membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang dan generasi.

Dengan reputasi vokal yang mantap serta pengalaman luas dalam industri muzik, kedua-dua penyanyi tersebut dijangka menjadi antara pesaing utama musim ini. Kehadiran mereka pastinya memberi tekanan besar kepada peserta lain yang turut memasang impian untuk menjuarai pertandingan tersebut.

‘Singer 2026 – Malaysia’ akan bersiaran selama enam episod bermula 30 Mei 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam di Astro AEC, Astro GO, On Demand dan sooka. Penonton juga boleh mendapatkan Pek Hiburan Astro One yang menawarkan lebih 90 saluran hiburan dengan harga serendah RM49.99 sebulan untuk menikmati pelbagai kandungan menarik dari Malaysia dan Asia.