Sime Beyond Auto (Beyond Auto), anak syarikat kepada Sime Motors, terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan pengedar BYD terbesar di Malaysia menerusi pembukaan BYD Sri Petaling, outlet keenamnya di negara ini.
Pembukaan pusat 1S baharu itu mencerminkan komitmen Sime Beyond Auto dalam memperluaskan akses kepada jenama BYD selain memberikan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik (EV) yang lebih mudah dan menyeluruh kepada pelanggan di seluruh negara.

Terletak secara strategik dalam koridor Bukit Jalil–Sri Petaling, pusat baharu ini berada di kawasan yang pesat membangun dengan komuniti terdiri daripada golongan profesional muda, keluarga serta peminat gaya hidup moden. Lokasi tersebut dilihat sesuai untuk mendekatkan pengalaman BYD kepada pengguna yang mencari kenderaan elektrik berprestasi tinggi dengan ciri inovatif.
Pada bulan Ogos nanti, BYD Sri Petaling bakal menampilkan konsep ruang pameran berinspirasikan sukan yang mengambil inspirasi daripada identiti Bukit Jalil sebagai lokasi ikonik sukan negara, termasuk Stadium Nasional dan kemudahan bertaraf dunia.
Konsep baharu itu direka untuk mengetengahkan elemen tenaga, prestasi dan pergerakan menerusi ruang serahan kenderaan yang diilhamkan sebagai “center field”. Setiap proses penyerahan kenderaan akan menjadi satu pengalaman istimewa buat pelanggan, manakala ruang pameran yang mampu menempatkan sehingga lima kenderaan serta ruang rehat pelanggan akan menjadikan lokasi ini lebih daripada sekadar pusat jualan automotif.
Menurut Vi Thim Juan, Managing Director, Malaysia Retail & Distribution, Sime Motors, perkembangan Sime Beyond Auto membuktikan usaha berterusan syarikat dalam memperluaskan kehadiran BYD di Malaysia serta meningkatkan standard pengalaman pelanggan dalam industri automotif.
Beliau berkata setiap pembukaan outlet baharu mencerminkan usaha Sime Beyond Auto untuk membawa pengalaman BYD lebih dekat kepada rakyat Malaysia, selain menyokong perkembangan penggunaan mobiliti elektrik secara lebih meluas di seluruh negara.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2022, Sime Beyond Auto berkembang pesat menerusi fokus terhadap pengalaman pelanggan, penglibatan digital serta kecemerlangan perkhidmatan selepas jualan. Pertumbuhan tersebut turut disokong oleh pengalaman luas Sime Motors dalam sektor automotif termasuk pengedaran, jualan runcit dan pengurusan pengalaman pelanggan.
Kedudukan Sime Beyond Auto sebagai kumpulan pengedar BYD terbesar Malaysia turut diperkukuhkan menerusi pelbagai pengiktirafan di BYD National Dealer Conference 2025. Antara pencapaian utama termasuk BYD Mansion Macalister, Penang yang dinobatkan sebagai Malaysia Overall Champion daripada 39 bilik pameran BYD seluruh negara.

BYD Ara Damansara, Selangor pula menerima pengiktirafan Top Dealer Outlet Champion berdasarkan prestasi keseluruhan dalam jualan dan operasi, manakala BYD Kuala Lumpur @ TREC dinobatkan sebagai Top Live Streamer Champion hasil prestasi cemerlang menerusi siaran langsung TikTok.
Selain itu, BYD Mansion Macalister turut menerima Customer Experience Excellence Award Champion serta Outstanding Aftersales Leadership Award sebagai pengiktirafan terhadap usaha memberikan pengalaman pemilikan yang berkualiti kepada pelanggan.
Sime Beyond Auto turut memperkenalkan pengalaman pelanggan yang lebih digital menerusi aplikasi mudah alih Sime Motors OneGo. Melalui aplikasi tersebut, pelanggan boleh mengurus janji temu servis, mendapatkan maklumat kenderaan, menikmati manfaat eksklusif serta kekal berhubung dengan ekosistem Sime Beyond Auto.
Dengan enam lokasi strategik di seluruh Malaysia iaitu BYD Ara Damansara, BYD Mid Valley Southkey, BYD Kuala Lumpur @ TREC, BYD Tebrau, BYD Mansion Macalister dan BYD Sri Petaling, Sime Beyond Auto terus memperluaskan rangkaian perkhidmatannya bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati pengalaman pemilikan BYD.
Sempena pembukaan BYD Sri Petaling, pelanggan yang membuat tempahan di mana-mana cawangan Sime Beyond Auto pada hujung minggu ini berpeluang menikmati pakej promosi bernilai sehingga RM14,000 untuk BYD ATTO 3 serta menyertai cabutan bertuah dengan hadiah bernilai sehingga RM1,000.
Selain promosi tersebut, pelanggan yang membuat tempahan di mana-mana cawangan Sime Beyond Auto dari 1 Julai hingga 30 September 2026 turut berpeluang memenangi sebuah motosikal bernilai RM39,900 tertakluk kepada terma dan syarat.
Dengan perkembangan rangkaian yang semakin kukuh, Sime Beyond Auto terus memainkan peranan penting dalam mempercepatkan transformasi mobiliti elektrik Malaysia serta membawa pengalaman kenderaan pintar dan mampan kepada lebih ramai pengguna.












