Bila Fesyen Menjadi Senjata: Dinda Dania Ungkap Jiwa Melalui Katana

Bintang muda yang mula mencuri perhatian sejak menjuarai Ceria Popstar Xtra 2022, Dinda Dania, kini tampil lebih matang dan berani dengan single terbaharunya berjudul “Katana”. Lagu berentak rancak ini dilancarkan di bawah label Rocketfuel Entertainment dan membawa mesej mendalam tentang kekuatan dalaman, keberanian, dan keteguhan seorang wanita.

Mengambil inspirasi daripada ketajaman dan keanggunan pedang legenda Jepun – Katana, lagu ini menjadikan pedang tersebut simbol kepada semangat tidak gentar dan kekuatan jiwa wanita. Dalam nada muzik moden yang sinematik, “Katana” mengetengahkan kisah wanita yang bangkit setelah dikhianati – memilih untuk berdiri teguh dan tidak tunduk kepada kesedihan.

“Katana bukan sekadar lagu – ia satu kenyataan. Ia tentang mencari suara sendiri dan berani bangkit selepas dikhianati,” jelas Dinda.

Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang menyedari pasangan lelakinya berlaku curang, lalu memilih untuk tidak terus dibelenggu kesedihan. Sebaliknya, dia melangkah pergi dengan penuh maruah dan keyakinan – satu gambaran jelas tentang wanita moden yang tahu akan nilai dirinya.

Dicipta oleh trio berbakat – Iqie Hugh, Omar K, dan Shazriq Azeman, “Katana” disusun dengan elemen muzik moden yang mempamerkan kekuatan vokal Dinda yang kini lebih matang dan penuh ekspresi. Walaupun menghadapi sedikit cabaran semasa rakaman kerana kesihatan tidak mengizinkan, Dinda tetap memberikan komitmen penuh.

“Saya kurang sihat masa rakaman, tapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Pasukan produksi sangat profesional dan banyak membantu,” katanya.

Bagi Dinda, kolaborasi ini bukan asing kerana beliau pernah bekerjasama dengan ketiga-tiga komposer sebelum ini. Pengalaman itu menjadikan proses penciptaan lagu ini lebih mudah dan mesra, sekaligus memperkuatkan lagi interpretasi vokalnya terhadap lagu yang penuh emosi ini.

“Katana” juga menjadi tanda aras baharu dalam perjalanan seni Dinda Dania, membuktikan kematangannya sebagai seorang artis muda yang sedang melakar nama dalam industri. Lagu ini bukan sahaja menonjolkan kekuatan vokalnya, malah menyampaikan mesej yang dekat dengan realiti ramai wanita – tentang keberanian, pilihan, dan kekuatan untuk terus melangkah.

Kini, “Katana” boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox, dan YouTube Music. Lirik video rasmi bakal dilancarkan tidak lama lagi sebagai pelengkap visual kepada lagu yang penuh simbolik ini.