Amazfit, jenama peranti boleh pakai pintar global di bawah Zepp Health, secara rasmi melancarkan Ekosistem Latihan Hibrid (Hybrid Training Ecosystem) di Malaysia bagi membantu atlet dan individu aktif berlatih dengan lebih pintar menerusi gabungan panduan latihan berasaskan data, penjejakan prestasi serta teknologi pemulihan yang komprehensif.
Pelancaran ini turut menyaksikan pengenalan dua jam pintar terbaharu iaitu Amazfit Balance 3 dan Amazfit Balance Ultra. Balance 3 kini mula ditawarkan di pasaran Malaysia, manakala Balance Ultra tampil sebagai model premium yang direka khas untuk memenuhi keperluan atlet berprestasi tinggi serta mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.

Ekosistem Amazfit Hybrid Training dibangunkan untuk komuniti kecergasan yang semakin berkembang di Malaysia, khususnya mereka yang menggabungkan latihan kekuatan, kardio, daya tahan serta pemulihan dalam rutin harian. Dengan sokongan aplikasi Zepp, pengguna dapat memahami bagaimana latihan, tidur, tekanan, pemulihan dan aktiviti harian saling mempengaruhi prestasi keseluruhan.
Menerusi analisis data yang lebih mendalam, pengguna boleh merancang latihan dengan lebih efektif, mengelakkan keletihan berlebihan serta meningkatkan prestasi dalam jangka masa panjang. Pendekatan ini membolehkan setiap sesi latihan disesuaikan mengikut tahap kesediaan fizikal individu.
Balance Ultra hadir sebagai model utama dengan binaan titanium Gred 5 yang menawarkan ketahanan tinggi serta reka bentuk premium yang sesuai digunakan ketika bersenam mahupun dalam urusan harian. Sementara itu, Balance 3 direka untuk atlet hibrid harian yang memerlukan jam tangan pintar serba boleh bagi aktiviti di gimnasium, larian, pemulihan dan kegunaan harian, dengan pilihan kemasan keluli tahan karat atau titanium.

Majlis pelancaran berlangsung di The Backyard Training, Petaling Jaya, yang merupakan antara pusat latihan HYROX dan kecergasan hibrid terkemuka di Malaysia. Para jemputan, atlet serta penggemar kecergasan berpeluang mencuba sendiri cabaran berinspirasikan HYROX sambil menggunakan Balance 3 dan Balance Ultra untuk melihat bagaimana kedua-dua jam tangan tersebut menjejak prestasi, tahap pemulihan serta kesediaan latihan secara masa nyata.
Acara tersebut turut menjadi platform pengumuman rasmi Bengkel HYROX Kelab Komuniti Amazfit MY yang bakal dianjurkan tidak lama lagi. Inisiatif ini mencerminkan komitmen jangka panjang Amazfit dalam memperkukuhkan komuniti HYROX di Malaysia dengan menyediakan lebih banyak peluang kepada atlet daripada pelbagai peringkat untuk berlatih, berkongsi pengalaman dan meningkatkan prestasi bersama.

Menurut Pengurus Pemasaran Amazfit Malaysia, Karmun Chow, atlet moden kini perlu mengimbangi latihan kekuatan, ketahanan, proses pemulihan serta komitmen harian. Justeru, siri Balance dibangunkan bagi membantu pengguna memahami bagaimana setiap elemen tersebut saling berkait supaya mereka dapat berlatih dengan lebih cekap, pulih dengan lebih baik dan mencapai potensi maksimum.
Antara teknologi utama yang diperkenalkan ialah HybridCharge Energy Intelligence yang menggabungkan BioCharge, LifeLoad dan Training Load ke dalam satu sistem analisis bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai kapasiti tenaga dan tahap kesediaan fizikal pengguna. Teknologi ini membantu pengguna menguruskan intensiti latihan, pemulihan dan kesejahteraan secara lebih sistematik.
Selain itu, siri Balance turut dilengkapi ciri Weekly Focus dan Training Balance yang membolehkan pengguna menilai sama ada rutin latihan mereka diagihkan secara seimbang antara latihan kekuatan, daya tahan dan pemulihan. Turut disediakan ialah Hybrid Training Plans yang menawarkan panduan latihan berstruktur untuk perkembangan prestasi secara konsisten.

Sebagai rakan rasmi peranti boleh pakai HYROX, kedua-dua model ini turut dilengkapi pelbagai fungsi khusus termasuk HYROX Virtual Pace, sokongan senaman mengikut format perlumbaan, pelan latihan HYROX, simulasi perlumbaan serta analisis pasca perlumbaan yang merangkumi rentak larian, prestasi di setiap stesen dan masa keseluruhan perlumbaan.
Atlet HYROX Pro dan Duta Amazfit, Mohd Saddam Pittli berkata, konsistensi merupakan faktor paling penting dalam HYROX dan atlet yang berjaya biasanya ialah mereka yang mampu mengurus beban latihan serta pemulihan dengan baik. Beliau menjelaskan bahawa Balance Ultra membantunya memahami tahap kesediaan badan dengan lebih tepat, sekali gus membolehkan latihan intensif dilakukan tanpa meningkatkan risiko keletihan melampau.
Dari segi spesifikasi, kedua-dua Balance 3 dan Balance Ultra hadir dengan paparan AMOLED bersaiz 1.5 inci yang dilindungi kaca nilam serta tahap kecerahan sehingga 3,000 nit. Ia turut menawarkan GPS dwi-jalur dengan kedudukan enam satelit, sokongan peta luar talian, pengesanan automatik bagi 25 jenis latihan kekuatan serta pemantauan kesihatan menyeluruh merangkumi kadar denyutan jantung, HRV, kualiti tidur, tahap tekanan, oksigen dalam darah dan kadar pernafasan.
Jam tangan ini turut menyokong panggilan Bluetooth, kawalan suara Zepp Flow, rakaman nota suara serta storan dalaman bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih lengkap kepada pengguna aktif.
Bagi ketahanan bateri, Balance 3 mampu bertahan sehingga 21 hari dengan penggunaan biasa, manakala Balance Ultra menawarkan hayat bateri sehingga 30 hari, menjadikannya sesuai untuk mereka yang aktif menjalani latihan intensif tanpa perlu kerap mengecas peranti.
Di Malaysia, Amazfit Balance 3 versi keluli tahan karat ditawarkan pada harga RM1,599 dengan harga promosi pelancaran RM1,499 dan mula dijual pada Julai 2026. Versi titanium pula akan dijual pada harga RM1,999 dan akan tiba di pasaran dalam masa terdekat. Sementara itu, Amazfit Balance Ultra ditawarkan pada harga RM2,599 dengan harga promosi pelancaran RM2,349 dan turut tersedia mulai Julai 2026.
Kesemua model boleh didapati menerusi kedai rasmi Amazfit Malaysia serta rangkaian rakan niaga rasmi di seluruh negara.











