Killa Driz Lancar “STUNTMAN” Bersama ChronicalZ

Killa Driz melancarkan “STUNTMAN”, sebuah single baharu penuh tenaga yang menampilkan penyanyi rap ChronicalZ. Dipacu bunyi sintesis yang membangkitkan semangat, rentak dram rancak dan persembahan penuh keyakinan, lagu ini mengetengahkan konsep kekal tenang di tengah tengah kekacauan.

Diterbitkan dan digubah oleh LastKhalif, “STUNTMAN” menyaksikan Killa Driz keluar daripada zon selesa dengan menggabungkan susunan muzik bertenaga bersama ritma yang lebih santai. Pendekatan tersebut menggambarkan keadaan seseorang yang berusaha mencari ketenangan walaupun berdepan suasana yang penuh cabaran.

Menurut Killa Driz, konsep lagu ini merupakan gabungan antara ketenangan dan kekacauan, justeru susunan muziknya dirangka agar kedengaran bertenaga manakala rentak dram pula lebih santai.

“STUNTMAN” membawa mesej tentang keyakinan untuk mengambil risiko, mengikut haluan sendiri dan melakukan sesuatu yang mungkin tidak berani dicuba oleh orang lain. Istilah ‘stuntman’ digunakan sebagai simbol keberanian, kebebasan dan keazaman untuk melangkaui batas.

Single ini turut menyatukan Killa Driz dan ChronicalZ, dua artis yang telah mengenali satu sama lain selama bertahun tahun menerusi lingkungan kreatif yang sama. Walaupun pernah berbincang untuk bekerjasama sebelum ini, kedua duanya menantikan sebuah karya yang benar benar autentik dan sesuai dengan identiti masing masing.

Menurut Killa Driz, ChronicalZ merupakan antara penyanyi rap kegemarannya dalam industri dan mempunyai pendekatan yang tidak dijangka dalam menghasilkan sesebuah lagu. Keupayaan ChronicalZ menggabungkan rap dan melodi turut memberikan perbezaan gaya yang melengkapkan persembahan Killa Driz dalam single tersebut.

“STUNTMAN” juga meneruskan kerjasama kreatif Killa Driz bersama LastKhalif yang telah terjalin sejak peringkat awal kerjaya mereka. Dengan produksi yang berani dan mesej positif, lagu ini menggalakkan pendengar untuk mempercayai kebolehan diri dan berani mengambil langkah walaupun terpaksa melakukannya sendirian.

Killa Driz berharap “STUNTMAN” dapat menjadi peringatan kepada pendengar supaya sentiasa percaya kepada diri sendiri dan berani mengambil risiko dalam kehidupan.

Pelancaran single ini hadir ketika Killa Driz meneruskan pembikinan album terbaharunya, “Lepas Senja”. Diilhamkan oleh kehidupan selepas matahari terbenam, album tersebut akan meneroka pelbagai emosi, hubungan dan detik sepanjang malam, daripada patah hati dan renungan diri kepada perayaan dan kelegaan.

Para peminat boleh mengikuti perkembangan projek tersebut menerusi Senja World yang menampilkan kandungan di sebalik tabir, momen studio dan visual berkaitan album.

Killa Driz turut dijadualkan membuat persembahan di Motormaniac pada 6 September 2026 bersama beberapa artis daripada barisan Def Jam. Persembahan tersebut bakal menampilkan beberapa lagu daripada “Lepas Senja” yang masih belum dilancarkan.

“STUNTMAN” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.