Pak Nil Perkenal K4LAM, Gabungkan Muzik, AI dan Suara Generasi Baharu

Ketika kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap penghasilan karya kreatif, Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil memilih untuk meneroka teknologi tersebut sebagai sebahagian daripada evolusi muzik.

Selepas lebih 30 tahun berada dalam dunia hiburan menerusi pelbagai bidang termasuk pengacaraan, lakonan, deejay radio, penerbitan dan nyanyian, Pak Nil kini membuka lembaran baharu dengan memperkenalkan kumpulan vokal K4LAM.

K4LAM dibentuk secara berperingkat sejak Februari 2026 dan dianggotai oleh empat lelaki iaitu Isa Khan, Danny, Zulhilmi Zolkefli dan Allif Firdaus. Kumpulan tersebut mengetengahkan kekuatan harmoni sebagai identiti utama, selain menjadi platform untuk meneroka gabungan AI dan kreativiti manusia.

Keempat-empat anggota K4LAM mempunyai pengalaman tersendiri dalam bidang seni kreatif dan mendapat bimbingan daripada penerbit AG Coco.

K4LAM bermula daripada pertemuan Pak Nil bersama Isa Khan sebelum Danny, Zulhilmi dan Allif menyertai kumpulan tersebut selepas melalui uji bakat terbuka. Mereka kemudiannya disatukan berdasarkan kesesuaian dengan konsep yang diketengahkan oleh Pak Nil, sebelum AG Coco memperkemas dan mempersiapkan kumpulan tersebut untuk pasaran muzik.

Menurut Pak Nil, minatnya untuk meneroka penggunaan AI dalam muzik bermula selepas beliau mempelajari cara membentuk prompt yang tepat bagi menghasilkan struktur bunyi, irama dan suasana muzik berdasarkan gambaran kreatif yang diinginkan.

Beliau melihat AI sebagai satu lagi alat dalam dunia muzik dan bukan teknologi yang akan menggantikan peranan manusia dalam menghasilkan karya.

Pak Nil turut menyifatkan penggunaan teknologi dalam muzik sebagai sebahagian daripada evolusi yang telah berlaku sejak sekian lama, termasuk perkembangan teknologi rakaman, instrumen elektronik, synthesizer, produksi berasaskan komputer dan teknologi digital.

Baginya, AI merupakan kesinambungan daripada perkembangan tersebut yang membuka ruang baharu untuk manusia meneroka kemungkinan kreatif.

Pak Nil turut menekankan kepentingan tanggungjawab dan etika apabila menggunakan AI dalam menghasilkan karya.

Menurutnya, teknologi tersebut hanyalah alat dan manusia masih menjadi pihak yang menentukan bagaimana ia digunakan serta bagaimana hasilnya dipertanggungjawabkan.

Daripada eksperimen tersebut, AG Coco merealisasikan hasrat Pak Nil menerusi penghasilan single pertama K4LAM yang diberi judul “MUSA”.

Menariknya, “MUSA” turut mempunyai dimensi kerohanian apabila liriknya menggunakan ayat terjemahan al-Quran daripada Surah Taha dan Surah An-Naml.

Pak Nil bagaimanapun tidak menganggap “MUSA” sebagai lagu ciptaannya sendiri dan menegaskan bahawa soal pengiktirafan serta kejujuran mengenai proses penghasilan karya merupakan perkara penting.

Beliau berkata penggunaan AI dalam proses menghasilkan karya perlu dilakukan secara bertanggungjawab dan tidak seharusnya menyebabkan seseorang mengambil keseluruhan kredit untuk sesuatu karya yang dihasilkan melalui bantuan teknologi tersebut.

Walaupun AI digunakan sebagai sebahagian daripada proses eksperimen, “MUSA” tetap mempunyai sentuhan manusia menerusi aspek produksi dan vokal. AG Coco bertindak sebagai penerbit, manakala rakaman suara K4LAM dilakukan di studio miliknya, Kamar Seni.

Pak Nil turut menjelaskan bahawa “MUSA” tidak dirancang sebagai karya untuk dipertandingkan. Sebaliknya, lagu tersebut dilihat sebagai sebuah eksperimen kreatif yang mempertemukan teknologi kontemporari dengan mesej kerohanian.

Beliau menyedari pendekatan tersebut mungkin menerima pelbagai reaksi daripada pendengar, namun berharap karya itu dapat memberikan sesuatu yang bermakna kepada mereka yang mendengarnya.

Bagi Pak Nil, sekiranya penggunaan teknologi yang ada hari ini mampu mendorong seseorang untuk lebih dekat dengan al-Quran, usaha tersebut mempunyai nilai tersendiri.

K4LAM juga bukan sekadar sebuah kumpulan baharu yang menampilkan empat suara dalam satu harmoni. Kumpulan ini menjadi sebahagian daripada usaha meneroka bagaimana generasi baharu penggiat seni boleh berdepan dengan perubahan teknologi melalui pembelajaran, eksperimen dan pemahaman terhadap batas etika.

Daripada eksperimen tersebut lahir “MUSA”, sebuah karya yang mempertemukan suara manusia, teknologi AI dan ayat terjemahan al-Quran dalam pendekatan muzik yang berbeza.

Bagi Pak Nil, nilai sebenar eksperimen ini bukan semata-mata terletak pada sejauh mana teknologi AI mampu menghasilkan sebuah lagu atau siapa yang menerima kredit, tetapi pada perkara yang mungkin tercetus dalam diri pendengar selepas menikmati karya tersebut.

Beliau berharap pendengar yang mendengar “MUSA” akan terdorong untuk membuka al-Quran, mencari Surah Taha atau Surah An-Naml dan membacanya sendiri.

“MUSA” kini boleh didengarkan dan video muziknya turut boleh dinikmati oleh peminat.

K4LAM dianggotai oleh Danny, 22, dari Rompin, Pahang yang bekerja sebagai penghibur dan mempunyai pengalaman dalam industri muzik.

Isa Khan, 33, dari Kuala Lumpur pula merupakan seorang pekerja bebas yang mempunyai pengalaman sebagai penyanyi dan pelakon.

Zulhilmi Zolkefli, 28, dari Desa Pandan, Kuala Lumpur, bekerja di sebuah badan berkanun dan mempunyai pengalaman sebagai pengacara, pengacara majlis, pencipta kandungan serta pengamal seni mempertahankan diri.

Allif Firdaus, 25, dari Selangor pula merupakan pekerja bebas yang mempunyai pengalaman sebagai penyanyi, pelakon, model dan pembikin filem.

Single sulung K4LAM, “MUSA”, diterbitkan oleh AG Coco dengan Pak Nil sebagai pencetus kepada penubuhan dan projek kumpulan tersebut.