FUGŌ dan Midnight Fusic Bakal Kongsi Pentas Menerusi Panggung Sandiwara

Dua kugiran kontemporari Malaysia, FUGŌ dan Midnight Fusic bakal berkongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic yang akan berlangsung pada Sabtu, 17 Oktober 2026, jam 8 malam di Odeon KL, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., konsert double bill ini bakal menghimpunkan dua kumpulan yang mempunyai identiti muzik serta kelompok peminat tersendiri dalam sebuah persembahan secara langsung yang istimewa.

Konsert tersebut turut menjadi kali pertama FUGŌ dan Midnight Fusic mengadakan persembahan berskala konsert bersama selepas kedua-dua kumpulan mula berbincang mengenai kemungkinan untuk bekerjasama pada 2024 ketika terlibat dalam sebuah acara persembahan di Pantai Timur.

Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtaruddin berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta selera generasi baharu pendengar muzik.

Menurut beliau, kedua-dua kumpulan mempunyai identiti muzik yang kuat dan unik sehingga berjaya membina kelompok peminat yang kukuh. Justeru, penggabungan FUGŌ dan Midnight Fusic dalam sebuah konsert double bill dilihat sebagai satu gandingan yang menarik untuk peminat muzik tempatan.

Vokal utama FUGŌ, Hakim Kamal berkata, idea untuk mengadakan persembahan bersama telah dibincangkan sejak 2024 ketika kedua-dua kumpulan membuat persembahan di acara yang sama.

Nama Panggung Sandiwara pula diilhamkan daripada tajuk lagu kedua-dua kumpulan yang berkongsi perkataan “Sandiwara”. Bagi konsert ini, FUGŌ akan membawakan lagu yang menjadi pilihan peminat tetapi jarang dipersembahkan dalam acara lain berikutan kekangan masa.

Sementara itu, vokal utama Midnight Fusic, Arif Kamarudin berkata, kedua-dua kumpulan turut memberi perhatian terhadap aspek visual untuk konsert berkenaan.

Menurutnya, konsep visual yang memberi impak akan diketengahkan bermula daripada pra pengumuman, pengumuman konsert dan bahan promosi sehingga ke persembahan pada malam konsert bagi memastikan Panggung Sandiwara menjadi sebuah konsert double bill yang dikenang.

FUGŌ yang ditubuhkan pada 2019 di Kuala Lumpur dianggotai Hakim Kamal sebagai vokal utama, gitar dan flugelhorn, Kayrol Ami sebagai bass dan vokal latar serta Fai sebagai kibodis, synthesizer, sequence playback dan vokal latar.

Kumpulan tersebut mula mendapat perhatian peminat muzik indie tempatan menerusi lagu Lagu Balad Kala Hujan dan identiti muzik Nu Vintage yang menjadi antara ciri tersendiri FUGŌ.

Midnight Fusic pula mula bertapak dalam industri muzik tempatan sejak 2013 ketika anggotanya masih di usia remaja. Kumpulan ini kini dianggotai Arif Kamarudin sebagai vokal utama dan gitar, Adrian Daniel sebagai vokal utama dan gitar serta Firdaus Azmi sebagai bass.

Sepanjang lebih 10 tahun dalam industri, Midnight Fusic telah menghasilkan beberapa lagu popular seperti Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather, Cahayaku Lovesick dan Heart of May.

Kepelbagaian gaya muzik kumpulan tersebut yang merangkumi bossa nova, indie rock dan garage rock turut menjadi antara tarikan utama Midnight Fusic, selain melodi serta permainan muzik yang menjadi identiti mereka.

Tiket Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic ditawarkan dalam dua kategori utama. Kategori PENTAS secara free standing berharga RM89 untuk fasa jualan awal dan RM139 bagi fasa jualan umum.

Kategori SANDIWARA secara premium seating pula ditawarkan pada harga RM129 untuk fasa jualan awal dan RM189 bagi fasa jualan umum.

Peminat turut boleh mendapatkan tiket nilai tambahan EXCLUSIVE SESSION pada harga RM150 yang menawarkan peluang menyertai sesi Meet & Greet serta beberapa pengalaman dan akses eksklusif sebelum konsert bermula.

Jualan tiket akan bermula pada 27 Ogos 2026, jam 10 pagi menerusi laman web rasmi panggungsandiwara.com.