Luncai Emas melihat perkembangan pasaran muzik Melayu perlu diperluaskan melangkaui Malaysia dengan memberi tumpuan lebih aktif kepada pasaran Asia, khususnya Asia Tenggara.
Penyertaan Pitahati di AXEAN Festival 2026 di Bali pada 29 dan 30 Ogos menjadi antara contoh usaha artis Malaysia membina kehadiran di luar pasaran domestik. Festival tersebut menghimpunkan artis dari pelbagai negara bersama delegasi industri menerusi persembahan, sesi jaringan, panel, business matchmaking dan program pembangunan muzik.

Menurut Pengarah Luncai Emas, Dato’ M. Nasir, perkembangan muzik Melayu perlu dilihat sebagai satu pasaran yang lebih besar daripada Malaysia. Bahasa Melayu dan budaya serantau mempunyai sejarah serta hubungan yang panjang, sekali gus membuka ruang untuk muzik tempatan membina kelompok pendengar di Indonesia, Brunei, Singapura dan seterusnya ke pasaran Asia yang lebih luas.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha mengantarabangsakan muzik Melayu tidak bermaksud artis tempatan perlu mengubah identiti muzik mereka mengikut kehendak pasaran luar. Sebaliknya, identiti muzik tempatan perlu dibawa ke pasaran baharu dan diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas, manakala label berperanan membantu artis mencari ruang serta jaringan yang sesuai.
Bagi Pitahati, peluang untuk berkembang di rantau Asia turut dilihat penting dalam perjalanan muzik mereka. Kumpulan itu melihat kepelbagaian dan sejarah muzik Melayu sebagai aset yang berpotensi menarik pendengar baharu, selain membuka lebih banyak ruang untuk artis Malaysia menyertai festival, showcase dan program industri di rantau ini.
AXEAN Festival merupakan antara platform yang memberi fokus kepada pertukaran muzik Asia Tenggara. Sejak 2020, festival tersebut telah menampilkan lebih 200 artis dari 20 negara serta menarik ratusan delegasi industri dari 32 negara.
Menurut Pengurus Produksi Luncai Emas, Keon Omar, pembangunan pasaran muzik bukan sesuatu yang boleh dicapai melalui satu persembahan atau festival sahaja. Usaha tersebut memerlukan kesinambungan melalui lebih banyak persembahan, kerjasama antara artis, pertukaran industri, promosi serta pembinaan komuniti pendengar di negara lain.
Beliau turut berharap usaha memperkenalkan muzik Melayu ke pasaran antarabangsa mendapat lebih banyak sokongan dan perhatian daripada pihak kerajaan serta sektor swasta supaya identiti muzik Melayu dapat dikenali dengan lebih meluas di peringkat global.
Penyertaan Pitahati di AXEAN Festival 2026 menjadi satu lagi peluang untuk kumpulan tersebut menguji muzik mereka di hadapan khalayak yang lebih luas, selain membuka ruang kepada hubungan dan kolaborasi baharu bersama penggiat muzik dari rantau Asia.
Luncai Emas berharap lebih banyak artis Malaysia akan diberikan peluang untuk bergerak ke luar negara secara strategik, sekali gus membantu membentuk ekosistem eksport muzik tempatan yang lebih kukuh dan berterusan.













