PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL Catat Sambutan Luar Biasa, Kesemua Tiket Habis Terjual

Dua puluh tahun selepas pertama kali menawan hati penonton Malaysia, PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL sekali lagi mencipta fenomena apabila kesemua tiket bagi pementasan semula yang dinanti-nantikan itu habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka.

Lebih mengejutkan, lebih 22,000 orang masih berada dalam senarai menunggu dalam talian pada jam 10 malam walaupun keseluruhan tiket bagi musim pementasan kali ini telah habis terjual.

Sambutan luar biasa tersebut menggambarkan permintaan tinggi penonton untuk menyaksikan kembali produksi ikonik berkenaan, selain memberi petanda positif terhadap perkembangan industri teater dan seni persembahan tempatan.

Bagi Tiara Jacquelina, Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, sambutan yang diterima amat mengharukan dan di luar jangkaan.

Menurut Tiara, dua dekad selepas PUTERI GUNUNG LEDANG pertama kali dibawa ke pentas, sokongan daripada penonton membuktikan bahawa kisah tersebut masih dekat di hati rakyat Malaysia, termasuk generasi baharu yang kini berpeluang mengenalinya.

Beliau turut melihat sambutan tersebut sebagai satu petanda menggalakkan untuk teater Malaysia dan seni persembahan negara, khususnya apabila penonton menunjukkan minat terhadap cerita, bakat dan produksi tempatan.

Tiara berharap kejayaan ini dapat memberikan lebih keyakinan kepada pihak yang percaya dan mahu terus melabur dalam perkembangan seni persembahan Malaysia.

Pementasan 2026 menandakan kembalinya PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL ke pentas selepas hampir dua dekad, kali ini di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Tiara turut merakamkan penghargaan kepada generasi peminat yang terus menyimpan produksi tersebut dalam ingatan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, antara perkara paling bermakna ialah apabila peminat yang pernah menyaksikan produksi tersebut 20 tahun lalu kini mahu membawa anak-anak mereka untuk menonton, di samping kehadiran generasi muda yang bakal mengenali dunia PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL buat kali pertama.

Tiara turut menghargai sokongan Jeffrey Cheah Performing Arts Centre yang percaya bahawa kisah tersebut wajar dihidupkan semula untuk generasi baharu.

Namun, bagi Tiara dan pasukan kreatif Enfiniti, kejayaan menjual kesemua tiket bukanlah penamat kepada perjalanan produksi tersebut.

Sebaliknya, sambutan luar biasa itu meningkatkan tanggungjawab mereka untuk memastikan pementasan yang bakal dipersembahkan mampu memenuhi, malah melangkaui jangkaan penonton.

Pasukan produksi kini giat menjalani latihan menjelang pembukaan musim pementasan pada 31 Oktober 2026, dengan Tiara mengarahkan generasi baharu barisan pelakon bagi pementasan semula muzikal Malaysia yang cukup ikonik ini.

Dalam pada itu, sambutan tiket yang luar biasa turut menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL diteruskan selepas musim pementasan kali ini.

Walaupun tiada pementasan tambahan yang disahkan setakat ini, Tiara mengakui memahami kekecewaan ribuan peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket.

Beliau turut memohon maaf kepada mereka yang telah menunggu dalam barisan dalam talian tetapi masih tidak berjaya mendapatkan tempat, sambil menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diberikan.

Menurut Tiara, sudah terdapat beberapa pihak yang mendekati pasukan produksi dan perbincangan awal sedang berlangsung mengenai kemungkinan membawa PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL ke lokasi lain selepas musim ini, termasuk minat daripada beberapa negeri di Malaysia.

Bagaimanapun, belum ada sebarang perkara yang dapat disahkan buat masa ini kerana fokus utama pasukan adalah memastikan pementasan yang akan datang dapat dipersembahkan pada tahap terbaik.

PUTERI GUNUNG LEDANG THE MUSICAL akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square.

Keseluruhan musim pementasan kini telah habis terjual, sekali gus membuktikan bahawa kisah dan karya seni tempatan masih mempunyai tempat yang istimewa di hati penonton Malaysia.