Festival MotorManiac 2026 Kembali Dengan Edisi Lebih Meriah

Festival MotorManiac 2026 kembali untuk edisi kali kelima dengan menjanjikan pengalaman yang lebih meriah buat peminat automotif dan gaya hidup urban. Festival selama dua hari ini akan berlangsung pada 5 hingga 6 September 2026 di Rooftop, Aras 7, MyTOWN Kuala Lumpur dan dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung.

Festival ini menggabungkan pelbagai tarikan termasuk pameran kereta berprestasi tinggi, persembahan artis, cabutan bertuah, koleksi barangan eksklusif serta pelancaran produk baharu. Menjelang acara tersebut, MotorManiac turut mengadakan Sidang Media MotorManiac 2026 pada 30 Ogos 2026 di ibu pejabatnya di Shah Alam bagi memperkenalkan beberapa inisiatif utama untuk edisi tahun ini.

Dianjurkan oleh Bateriku, festival ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara gaya hidup automotif terbesar di Malaysia. MotorManiac 2026 turut mendapat sokongan Astra sebagai Penaja Utama, Petronas Syntium sebagai Penaja Bersama dan Lazada sebagai Rakan Tiket Rasmi. Acara ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain itu, Red Bull, MyTOWN Shopping Centre, Retrohavoc dan GGR turut terlibat sebagai rakan penaja dan penyokong acara. F&N pula hadir sebagai Rakan Minuman Rasmi bagi memastikan pengunjung kekal terhidrat sepanjang festival berlangsung.

Aspek hiburan turut menjadi antara tarikan utama MotorManiac 2026 menerusi kerjasama dengan DEF JAM Southeast Asia sebagai Rakan Pentas Rasmi. Festival muzik secara open-air ini bakal menampilkan barisan artis seperti Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, Ismail Izzani, Killa Driz, Lil J, Yonnyboii, AbangSapau dan DJ CZA.

Koleksi barangan rasmi MotorManiac 2026 turut mendapat kerjasama eksklusif bersama DEF JAM Southeast Asia dengan sebanyak 12 SKU diperkenalkan sempena edisi tahun ini.

Jom Battle kembali sebagai Rakan Rasmi B-Boy dengan diketuai oleh Sora. Festival kali ini turut menampilkan Keep It Street by Zeem Ahmad, atlet bola sepak gaya bebas Red Bull Malaysia yang akan mengetengahkan budaya jalanan dan melengkapkan gabungan antara dunia automotif dengan gaya hidup urban.

MotorManiac 2026 juga bakal menyaksikan pengumuman MotorManiac Drift Academy dan pasukan drift ASTRA yang menghimpunkan beberapa nama besar dalam dunia drift. Antaranya ialah Rome Charpentier, pelumba Formula Drift PRO1 dari Amerika Syarikat, Vernon Zwaneveld, hakim drift antarabangsa bertauliah FIA dan jurulatih drift, Dika Champion, pelumba drift kebangsaan Indonesia serta Pengurus Operasi Sentul International Circuit dan Alvito Hardianto, antara pelumba drift terkemuka Indonesia.

Dengan gabungan automotif, muzik, budaya jalanan dan aksi drift, Festival MotorManiac 2026 dijangka menjadi antara acara yang dinanti-nantikan oleh peminat automotif dan gaya hidup urban di Malaysia.