Selepas mencipta fenomena sebagai pertunjukan fesyen kucing pertama di Malaysia, Cat Fashion Week (CFW) kembali dengan musim terbaharu yang lebih meriah, lebih kreatif dan pastinya lebih “meow-vellous”. Bermula 20 Julai hingga 15 Ogos 2026, TV3 membuka Uji Bakat Online Cat Fashion Week, mengajak pencinta kucing dari seluruh negara mengetengahkan keunikan si bulus kesayangan mereka untuk merebut peluang beraksi di pentas finale.
Meneruskan kejayaan musim terdahulu, Cat Fashion Week sekali lagi mencari si bulus paling bergaya di Malaysia. Bukan sekadar menilai penampilan, pertandingan ini turut memberi perhatian kepada karisma, personaliti serta keserasian antara kucing dan pemiliknya. Lebih daripada sebuah pertandingan, CFW meraikan hubungan istimewa antara manusia dan haiwan peliharaan melalui gabungan elemen fesyen, hiburan dan kreativiti dalam sebuah acara yang sesuai dinikmati seisi keluarga.
Menyertai pertandingan ini juga cukup mudah. Peserta hanya perlu menghasilkan video berdurasi satu minit yang memaparkan gaya paling kreatif dan bergaya si bulus kesayangan mereka. Video tersebut boleh dihantar ke alamat e-mel contest@tv3.com.my atau dimuat naik ke media sosial menggunakan tanda pagar #CatFashionWeekTV3 sepanjang tempoh penyertaan.
Daripada semua penyertaan yang diterima, hanya 30 kucing terbaik akan dipilih untuk menyertai sesi rakaman separuh akhir. Seterusnya, enam finalis akan dipilih untuk mara ke pentas Finale Cat Fashion Week.
Pemilihan finalis akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk baka, gaya catwalk, keadaan fizikal dan penjagaan, keserasian antara pemilik dan kucing serta kreativiti yang dipamerkan sepanjang pertandingan.
Enam finalis yang berjaya mara bukan sahaja bakal berentap di pentas finale, malah turut mengikuti siri kandungan eksklusif yang memaparkan perjalanan mereka menuju malam kemuncak. Acara finale yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2026 dijangka menjadi sebuah pertunjukan penuh warna-warni dengan aksi si bulus yang bergaya, persembahan istimewa serta pelbagai momen menghiburkan sebelum juara Cat Fashion Week dinobatkan.
Jadi, jika si bulus anda memiliki personaliti yang memikat dan yakin melangkah di pentas peragaan, inilah peluang untuk mereka mencuri perhatian seluruh Malaysia. Sertai Uji Bakat Online Cat Fashion Week dan buktikan bahawa si comel anda mempunyai aura untuk bergelar ikon fesyen kucing paling bergaya tahun ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada fenomena Cat Fashion Week. Hantar penyertaan anda sebelum 15 Ogos 2026 dan mungkin si bulus anda bakal menjadi bintang seterusnya di pentas peragaan paling comel di Malaysia.










