
vivo Malaysia secara rasmi memperkenalkan vivo Y31s, iaitu telefon pintar mampu milik yang mengutamakan ketahanan bateri, daya tahan peranti serta prestasi harian yang lancar. Ia ditawarkan pada harga RM1,199, dicipta dengan bateri ‘BlueVolt’ berkapasiti sebesar 6500mAh, ciri ketahanan premium dan reka bentuk moden yang menarik.
Telefon pintar ini tersedia dalam pilihan warna ‘KL Midnight Purple’ dan ‘Glowing Black’, turut menampilkan reka bentuk nipis setebal 8.39mm sahaja dengan berat hanya 209 gram. Peranti ini dilengkapi ‘Dynamic Light Notification Ring’ yang menjadikan pengalaman yang lebih menarik dan mesra pengguna.
Bateri Tahan Lama untuk Penggunaan Harian
Tarikan utama vivo Y31s ialah bateri ‘BlueVolt’ 6500mAh yang direka khas untuk menyokong penggunaan sepanjang hari tanpa perlu kerap dicas. Menurut vivo, bateri ini masih mampu mengekalkan lebih 80% prestasinya walaupun sudah dicas sehingga 1,600 kali, bersamaan kira-kira lima tahun penggunaan biasa. Peranti ini menyokong pengecasan pantas 44W dan dilengkapi pelbagai ciri pintar yang membantu melindungi bateri serta mengekalkan prestasinya untuk tempoh yang lebih lama.

Ketahanan bateri vivo Y31s turut dapat dirasai ketika aktiviti seharian. Setelah telefon ini digunakan sepanjang hari untuk aktiviti luar seperti berjalan-jalan di taman, mengambil gambar pemandangan, merakam video dan melayari media sosial, peranti ini masih mempunyai baki bateri yang mencukupi menjelang penghujung hari. Ini menjadikannya pilihan sesuai untuk pengguna yang aktif dan sering berada di luar rumah tanpa akses mudah kepada pengecas.
Dilengkapi Ciri Tahan Air Bertaraf Tinggi
Dengan reka bentuk yang lebih canggih, ia dicipta dengan penarafan kalis air dan debu IP68 serta IP69+, pensijilan SGS 5-Star Drop Resistance dan ketahanan bertaraf tinggi MIL-STD-810H. Selain itu, peranti ini menawarkan ciri Wet-Hand Touch yang membolehkan skrin digunakan walaupun tangan basah. Ia juga turut disertakan dengan mod fotografi bawah air.

Dalam situasi harian, ciri kalis air pada vivo Y31s ternyata sangat berguna. Selepas makan atau melakukan aktiviti luar yang menyebabkan tangan menjadi kotor, pengguna boleh membilas dan membersihkan telefon dengan lebih mudah. Walaupun terkena percikan air atau digunakan dengan tangan yang masih basah, skrin peranti tetap responsif, memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa dan tanpa kerisauan.
Direka Lasak untuk Pelbagai Situasi
Bukan itu sahaja, vivo Y31s turut dilengkapi perlindungan tambahan menerusi Guardian Glass yang direka untuk meningkatkan ketahanan skrin, sekali gus membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat hentakan atau penggunaan harian yang lasak.
Ketahanan vivo Y31s juga sesuai untuk pengguna yang sentiasa bergerak seperti penghantar makanan atau rider Grab. Dalam situasi harian yang sibuk, telefon mungkin terjatuh ketika mengeluarkannya dari poket, pemegang motosikal atau semasa membuat penghantaran. Dengan perlindungan Guardian Glass, peranti ini memberikan ketenangan tambahan kerana skrin direka untuk lebih tahan terhadap hentakan dan cabaran penggunaan harian.
Penggunaan Lancar dan Kapasiti Storan Besar
Dikuasakan dengan cip Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2, vivo Y31s turut dipadankan dengan RAM 12GB termasuk fungsi Extended RAM serta storan dalaman 256GB. Teknologi storan UFS 3.1 membantu mempercepatkan pengguna mengakses aplikasi, melancarkan penggunaan pelbagai aplikasi secara serentak dan memastikan sistem lebih responsif.
Ketika diuji dengan beberapa permainan mudah alih popular, seperti Mobile Legend, vivo Y31s mampu memberikan prestasi yang lancar dan stabil. Pergerakan dalam permainan kelihatan lebih responsif, manakala proses membuka aplikasi, bertukar antara permainan dan aplikasi lain dapat dilakukan dengan cepat.
Skrin Jelas dan Sokongan Kamera AI
vivo Y31s diperkenal dengan skrin FHD+ 6.72 inci yang dilengkapi skrin 120Hz serta kecerahan sehingga 1050 nits, yang boleh meningkatkan pengalaman visual yang lebih lancar dan jelas walaupun digunakan di bawah terik cahaya matahari. Selain itu, pensijilan ‘TÜV Rheinland Low Blue Light’ dapat membantu mengurangkan keletihan mata pengguna ketika digunakan dalam tempoh yang lama.

Keupayaan skrin vivo Y31s turut dapat dilihat ketika digunakan di kawasan terbuka pada waktu siang. Walaupun berada di bawah cahaya matahari yang terang, paparan pada skrin masih kelihatan jelas dan mudah dibaca tanpa perlu meningkatkan kecerahan secara berlebihan. Ini memudahkan pengguna untuk menyemak mesej, melayari media sosial atau melihat peta navigasi ketika berada di luar rumah.
Dari segi fotografi, peranti ini dilengkapi kamera utama 50MP dan kamera swafoto 32MP. Pelbagai fungsi AI seperti AI Erase, AI Photo Enhance, Dual-View Video, Live Photo dan Underwater Photography turut disediakan bagi menghasilkan gambar dan video yang lebih menarik.


Ketika digunakan untuk mengambil gambar pemandangan di taman, kamera vivo Y31s berjaya menghasilkan imej yang jelas dan terang dengan warna yang kelihatan semula jadi. Setiap perincian seperti dedaunan, langit dan elemen landskap dapat dirakam dengan baik, menjadikan hasil fotografi kelihatan lebih menarik untuk dikongsi terus di media sosial.
vivo Y31s kini boleh didapati di seluruh Malaysia pada harga RM1,199 menerusi vivo Concept Store dan kedai rasmi dalam talian vivo. Dengan gabungan bateri berkapasiti besar, ketahanan premium dan pelbagai ciri pintar moden, vivo Y31s tampil sebagai pilihan menarik bagi pengguna yang mencari telefon pintar serba lengkap pada harga yang berpatutan.










