
Hari ini menandakan ulang tahun penubuhan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang ke-24. Sejak ditubuhkan pada 16 April 2002, SSM terus komited melaksanakan mandat sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat negara, berpaksikan visi untuk menjadi pendaftar dan pengawal selia korporat terulung.
Sepanjang 24 tahun penubuhannya, SSM telah membina reputasi sebagai institusi penting dalam memperkukuh ekosistem perniagaan negara. Kejayaan ini didukung oleh komitmen, integriti dan profesionalisme seluruh warga kerja SSM yang sentiasa memastikan tadbir urus korporat negara berkembang seiring dengan perubahan dan keperluan semasa.
Bersempena ulang tahun ke-24 ini, SSM memperkenalkan empat inisiatif utama bagi tahun 2026 yang memberi fokus kepada pematuhan, pemulihan dan pemerkasaan usahawan. Inisiatif ini juga mencerminkan usaha berterusan SSM dalam memudah cara urusan perniagaan di Malaysia.
Inisiatif pertama ialah Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori yang diwujudkan bagi membantu syarikat yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan pematuhan di bawah Akta Syarikat 2016. Melalui inisiatif ini, syarikat diberi ruang untuk melaksanakan tindakan pemulihan terhadap dokumen statutori tertunggak, di samping menikmati manfaat seperti pengecualian kompaun bagi kesalahan tertentu serta pengurangan kompaun sehingga 98 peratus.
Inisiatif kedua ialah kesinambungan Skim 1 OKU 1 Perniagaan yang menyokong kelangsungan perniagaan usahawan orang kurang upaya melalui pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma setiap tahun. Program ini bertujuan memastikan golongan OKU terus berdaya saing dalam bidang keusahawanan.
Inisiatif ketiga pula ialah pelanjutan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) daripada satu tahun kepada dua tahun. Skim ini melibatkan usahawan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPTA, IPTS, politeknik, kolej, institut kemahiran dan pusat kemahiran, bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang perniagaan.
Inisiatif keempat ialah pengenalan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) yang akan bermula pada 1 Jun 2026. Skim ini memberi peluang kepada warga emas untuk menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan, di samping memastikan mereka kekal aktif menyumbang kepada ekonomi negara.
Secara keseluruhannya, empat inisiatif utama ini dijangka memperkukuh tahap pematuhan korporat, memudah cara urusan perniagaan serta meningkatkan kecekapan dan ketelusan ekosistem perniagaan negara. Usaha ini juga selari dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif dan mampan.
SSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerjanya atas dedikasi dan khidmat bakti yang berterusan. Semoga SSM terus kekal unggul sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat yang berwibawa, progresif dan relevan dalam mendukung pembangunan ekonomi negara.
Selamat Ulang Tahun SSM ke-24.