Kehadiran Ramadan sentiasa dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia kerana pada bulan inilah diwajibkan ibadah berpuasa, iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta meninggalkan segala perkara yang dilarang. Selain berpuasa, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan ibadah dan doa, bermuhasabah diri, bersedekah, membantu golongan memerlukan serta memperbaiki akhlak dan hubungan sesama insan. Ramadan yang merupakan bulan kesembilan dalam kalendar Islam turut memiliki keistimewaan tersendiri kerana pada bulan inilah Al-Quran pertama kali diturunkan, khususnya pada malam Lailatul Qadar yang ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.
Seiring dengan keberkatan bulan suci ini, pelbagai pihak mengambil peluang menganjurkan program berunsur dakwah dan kebajikan saban tahun, termasuk HS Event & Ent Sdn Bhd. Meneruskan tradisi program hiburan dakwah tahunan yang sentiasa mendapat sambutan positif, syarikat tersebut dengan kerjasama Saloma Kuala Lumpur bakal menganjurkan Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 yang dijadual berlangsung pada 14 Mac 2026 di lokasi berkenaan.
Konsert ini menghimpunkan barisan artis popular era 80-an dan 90-an seperti Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata dan The Rayhan yang bakal menghiburkan penonton dengan persembahan penuh makna.

Penganjurnya, Datin Sri Dr Riza Dato’ Che Umar bersama rakan kongsi, Mubarak Akhtar menjelaskan bahawa penganjuran Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 adalah hasil permintaan peminat seni yang menyukai konsep hiburan dakwah yang diketengahkan sebelum ini. Konsep tersebut bukan sahaja menampilkan persembahan yang sarat dengan nilai spiritual dan ketuhanan, malah turut diselitkan dengan pengisian ibadah yang signifikan sepanjang Ramadan.
Antara pengisian yang dirancang termasuk sesi tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa, diikuti solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Isyak dan tarawih dilaksanakan, barulah persembahan artis dimulakan, sekali gus menjadikan program ini seimbang antara hiburan dan pengisian rohani.
Mengulas lanjut mengenai penglibatan 10 artis yang terlibat, Mubarak menyatakan rasa teruja dan terharu atas kesudian barisan nama besar tersebut menerima tawaran untuk menjayakan konsert ini. Beliau percaya ramai peminat teruja untuk menyaksikan persembahan mereka, memandangkan kebanyakan artis berkenaan mempunyai perjalanan kerjaya seni yang cemerlang serta kelompok peminat tersendiri.
Selain menikmati persembahan dan mengikuti aktiviti ibadah yang disusun, peminat juga berpeluang menyumbang kepada kebajikan melalui setiap pembelian tiket konsert ini. Seperti penganjuran tahun-tahun terdahulu, pihak penganjur menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 25 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan menerusi sumbangan yang dikumpulkan. Di samping itu, pemberian duit raya turut akan disampaikan kepada anak-anak yatim yang diraikan.
Usaha ini diharap dapat meringankan beban golongan anak seni yang memerlukan menjelang Aidilfitri, selain membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim agar mereka turut merasai kemeriahan sambutan yang bakal tiba.