Borneo Fashion Week (BFW) 2025 kembali dengan visi global, menampilkan pameran fesyen, pertunjukan budaya dan kreativiti bertaraf dunia pada 10 hingga 11 Oktober di Pavilion Damansara Heights, lokasi baharu yang menjanjikan pengalaman peragaan imersif.
Diasaskan oleh Stephanie Alcantara juara Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24, naib juara Miss Malaysia 1990 dan Dewi Remaja 1989 BFW lahir daripada aspirasi untuk memperjuangkan budaya pribumi sambil mentakrifkan kedudukan Asia dalam perbualan haute couture global. Sejak penubuhannya, acara ini berkembang menjadi salah satu tarikan utama kalendar kreatif rantau ini, menghimpunkan pereka, peragawati dan penggiat industri dari seluruh dunia.
Bertemakan “Fashion With Purpose”, edisi tahun ini menekankan kelestarian, warisan budaya dan inovasi rekaan. Setiap pereka diwajibkan mempersembahkan sekurang-kurangnya satu rekaan berkonsepkan lestari, memastikan fesyen tidak hanya glamor, tetapi juga prihatin terhadap alam sekitar. “Matlamat utama kami adalah untuk meletakkan BFW bukan sekadar pentas peragaan. Ia adalah platform penceritaan, memupuk kelestarian dan mengangkat warisan budaya,” jelas Stephanie.

Selain mengetengahkan pereka ternama, BFW 2025 turut memberi ruang kepada pereka baharu dengan liputan media dan peluang rangkaian yang setara. Kolaborasi bersama media antarabangsa dan pempengaruh fesyen turut memperkukuh pengaruh global BFW, sekali gus memberi peluang pereka tempatan tampil di persada dunia.
BFW 2025 mengekalkan fokus terhadap warisan Borneo dengan menampilkan motif, tekstil serta seni pertukangan tradisional dalam sentuhan moden yang mampu memikat audiens tempatan mahupun antarabangsa. Pada masa sama, aspek kelestarian disulam dalam keseluruhan acara dari pemilihan bahan hingga ke proses produksi.
Acara ini turut mendapat sokongan rakan strategik seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques dan Pavilion Damansara Heights, menjadikan BFW 2025 sebuah festival gaya hidup menyeluruh yang menggabungkan fesyen, wellness, inovasi dan budaya.
Stephanie turut menzahirkan visinya untuk menjadikan BFW sebagai pusat fesyen utama di Asia serta disenaraikan dalam kalendar tahunan MOTAC sempena kempen Visit Malaysia 2026. “Visi saya adalah agar BFW diiktiraf secara global sebagai hub yang menyatukan budaya, kelestarian dan inovasi,” katanya.
Antara pereka yang bakal memeriahkan pentas termasuk nama-nama besar dari Malaysia seperti Angelique, Aldrin, Clarissima, Calvin Tho, December Teo, GC Jade, Inayad, Ocely, Saerah, Barzwang, Jayk, Wan Bynun, Even Ong, Penan Bag, Maswira Majid, Nasha Prive dan Yacutha. Turut serta ialah pereka dari Vietnam (Bianca, Gracie), Singapura (Hayden Ng, Indra Mubarak), serta Brunei (Bilang).
Dengan gabungan kelestarian, warisan dan kreativiti moden, Borneo Fashion Week 2025 bersedia mengangkat bakat tempatan ke pentas global, menjadikannya salah satu acara fesyen paling berprestij dan dinanti di rantau Asia.