Hari Kebangsaan Dirai dengan Masakan Tempatan Bertwist Latvia dan Greece

Hari Kebangsaan di Malaysia bukan sahaja diraikan dengan perarakan dan perhimpunan keluarga, tetapi juga dengan sajian makanan yang menjadi lambang budaya. Dalam suasana ini, dua chef terkenal iaitu Chef Amir Gani dan Chef Jia Le Woh memperkenalkan cara baharu menghargai tradisi kulinari Malaysia dengan menggabungkan ramuan tempatan bersama bahan premium dari Eropah seperti minyak zaitun dari Greece serta produk tenusu dari Latvia. Melalui kempen Premium European Products yang disokong Kesatuan Eropah, mereka membuktikan bahawa resipi warisan boleh diperkaya dengan tekstur, aroma dan warna tambahan tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Chef Jia Le

Chef Amir yang berpengalaman lebih daripada 12 tahun dalam bidang kulinari percaya bahawa hidangan tradisional seperti ayam percik, daging bakar dan kerabu mampu berevolusi tanpa meninggalkan jati diri. Minyak zaitun extra virgin dari Greece diperkenalkan sebagai pilihan sihat untuk menggantikan lemak tepu, bukan sahaja sesuai untuk masakan tumis tetapi juga mempertingkatkan rasa perapan dan menjaga kelembutan daging. Ia turut menambah nilai pada ulam dan kerabu dengan menggantikan kuah berasaskan santan. Beliau juga mencadangkan produk tenusu dari Latvia sebagai alternatif dalam masakan berkuah lemak seperti sayur lodeh atau lemak cili api, yang memberi rasa berkrim lebih ringan tetapi tetap seimbang dengan cita rasa tradisional.

Selain itu, kismis Corinthian dari Greece yang mempunyai kemanisan semula jadi boleh dijadikan pengganti gula dalam hidangan berempah seperti rendang atau kurma. Saffron pula menjadi pilihan semula jadi untuk memberikan warna keemasan pada nasi minyak dan kuih tradisional, sekaligus menggantikan pewarna tiruan. Susu dari Latvia menawarkan kelembutan tekstur untuk resipi kuih berkrim atau masakan berasaskan kuah. Gabungan ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati makanan warisan dalam versi lebih moden dan sihat.

Usaha ini menunjukkan bahawa sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar tentang warisan, tetapi juga keterbukaan menerima inovasi global. Tradisi kulinari Malaysia diperkaya dengan ramuan antarabangsa sambil mengekalkan nilai budaya. Minyak zaitun dalam satay atau susu Latvia dalam kuih seri muka menjadi contoh bagaimana dua dunia boleh bersatu dalam satu pinggan.

Chef Amir kini memimpin AG Food Lab selain pernah membangunkan restoran The 3 Dukes Publika dengan konsep sajian kampung moden. Chef Jia Le pula yang terlatih di hotel antarabangsa dan pernah memenangi Global Culinary Challenge Malaysia 2019 kini berfokus pada kandungan masakan digital dengan jutaan tontonan daripada lebih 700,000 pengikut. Kedua-dua chef ini melakar contoh bahawa kreativiti kulinari boleh merentas sempadan budaya.

Maklumat lanjut mengenai Premium European Products boleh didapati melalui laman web rasmi serta saluran media sosial. ETHEAS atau Kesatuan Koperasi Pertanian Kebangsaan Greece yang dianggotai lebih 300 koperasi mewakili majoriti sektor pertanian negara itu dengan fokus kepada pembangunan luar bandar dan promosi antarabangsa. LDC atau Jawatankuasa Tenusu Latvia pula berperanan melindungi dan mengembangkan industri tenusu sejak penubuhannya pada tahun 1995, dengan 17 ahli yang menguasai sebahagian besar pemprosesan susu di negara tersebut.