Pertama di Malaysia, Kucing Jadi Ikon Fesyen!

Shah Alam, 24 Jun – Dunia hiburan tempatan mencatat sejarah baharu apabila TV3 memperkenalkan Cat Fashion Week, pertandingan fesyen kucing pertama seumpamanya di televisyen Malaysia. Acara ini menghimpunkan 20 ekor kucing paling bergaya bersama pemilik masing-masing dalam pusingan pre-judging yang berlangsung meriah di studio TV3. Bukan sekadar pertunjukan fesyen, pertandingan ini menonjolkan kasih sayang, kreativiti dan ikatan istimewa antara manusia dan haiwan peliharaan mereka.

Kucing-kucing ini tampil dengan pelbagai gaya unik dan penuh personaliti, dari Persian, Ragdoll hingga British Shorthair, semuanya beraksi di pentas khas mengikut tema tersendiri. Penjurian diketuai oleh nama-nama besar seperti Dr Ima, Johan & His Cats, Yuen Wai, Mark Adam dan Pak Khalid sebagai penasihat. Setiap aspek dinilai dari penampilan, keselesaan hingga ke interaksi pemilik dan kucing mereka.

Daripada 100 penyertaan online, hanya 20 disenarai pendek, dan kini hanya 8 yang berjaya mara ke peringkat akhir. Finalis ini akan dipaparkan dalam segmen khas dalam rancangan NONA bermula 29 Jun hingga 17 Ogos, setiap Ahad jam 2 petang. Kapsul eksklusif pula disiarkan dari 27 Julai hingga 10 Ogos, jam 7.50 malam, sebelum pentas akhir yang bakal ditayangkan pada 17 Ogos jam 9 malam.

Pemenang utama akan membawa pulang RM5,000, RM3,000 (naib johan), RM2,000 (tempat ketiga) dan RM1,000 bagi setiap peserta Top 8. Anugerah khas seperti Felix, Si Bijak dan Si Lincah turut diperkenalkan untuk menghargai kucing yang benar-benar menyerlah.

Cat Fashion Week bukan sahaja mencuit hati, malah membuka ruang baharu kepada pemilik haiwan untuk mengekspresikan kreativiti dalam bentuk gaya, fesyen dan kasih sayang. Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai Raja atau Ratu Catwalk Malaysia? Nantikan kecomelan dan gaya luar biasa mereka hanya di TV3! – Tehtariktimes