Malaysia disasarkan untuk berada dalam kelompok lima negara teratas dari segi kutipan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk pengiktirafan filem ini di peringkat antarabangsa, termasuk kemungkinan pencalonan di anugerah Oscar.
Perkara ini dikongsikan oleh Zainal Rashid Ahmad atau ZRA dalam sesi Coffee Talk bersama ZRA yang berlangsung pada 10 Januari 2026. Menurutnya, filem ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium naratif realiti, malah menjadi ruang katarsis emosi kepada penonton yang terkesan dengan konflik berterusan di Gaza yang telah berlangsung hampir 800 hari.

ZRA menekankan bahawa The Voice of Hind Rajab merupakan salah satu naskhah perfileman yang berjaya mengetengahkan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah. “Keberuntungan kita hari ini ialah kerana kisah Hind Rajab sempat dirakam. Banyak kisah lain sejak 52 tahun lalu tidak pernah difilemkan,” jelas beliau.
Beliau, yang turut bertindak sebagai suara kempen filem itu, menegaskan bahawa kekuatan utama karya ini terletak pada realiti kisah Hind Rajab yang berjaya dirakam dan difilemkan, menjadikannya antara tragedi sebenar pertama yang melibatkan kanak-kanak Palestin dipersembahkan secara terperinci kepada penonton umum.
Sesi Coffee Talk tersebut turut menjadi platform kupasan pasca tayangan, menekankan bahawa kisah Hind Rajab adalah kesinambungan daripada 50 tahun siri pembunuhan terancang terhadap kanak-kanak Palestin. Penonton dibawa mengimbau kisah kanak-kanak lain yang syahid seperti Lamis Najim, Faris Odeh, Muhammad Al-Durrah dan Reem Nabhan, bagi memberi perspektif lebih luas tentang penderitaan generasi muda di Gaza.
Tetamu yang hadir memperoleh pengetahuan mendalam mengenai siri kekejaman yang meliputi bukan sahaja Gaza tetapi juga kawasan lain yang terlibat dalam konflik. Dengan itu, sesi tersebut menjadi lebih daripada sekadar perbincangan filem; ia juga berperanan sebagai ruang pendidikan dan kesedaran kemanusiaan.

Dalam sesi itu, ZRA turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus menjadi suara bagi Palestin dengan menyokong tayangan filem ini di pawagam, sekali gus menyemarakkan inisiatif #GerakanSuaraMalaysia. “Jika negara lain boleh berada di kedudukan lima teratas, kenapa tidak Malaysia?” tambah beliau.
Sesi Coffee Talk bersama ZRA dan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, yang dihadiri lebih 200 peserta, turut mendapat sokongan beberapa selebriti tempatan dan aktivis kemanusiaan, termasuk Heliza, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Dr Hafiz Sulaiman, Mior Malek Raiyani, Asrulnizam Kadir dan Amirulhakim Lokman. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.

Filem ini mula ditayangkan pada 8 Januari lalu dan kini boleh ditonton di 32 lokasi. Ia mengisahkan tragedi sebenar yang menimpa Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024. Tragedi itu turut merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan daripada Hind ketika berusaha menyelaras penghantaran bantuan kecemasan, namun misi itu gagal menyelamatkan nyawanya.