Menjadi sebuah kenangan abadi dan menyentuh hati terdalam ketika lokasi yang memuatkan sekitar 5000 khalayak dipenuhi dengan jiwa-jiwa yang menghargai, disertai nyanyian bersama yang tidak putus-putus sepanjang Konsert CSA ACADEMY MEMPERSEMBAHKAN ZIANA ZAIN KONSERT 2024 ini berlangsung selama 2 jam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert Ziana Zain 2024 yang berlangsung pada 25 Mei 2024 adalah salah satu sari berita penting bukan sahaja dalam karier diva seni suara tersebut tapi juga buat industri hiburan tanah air. Ziana Zain disambut dengan meriah dan penuh apresiasi oleh para peminat yang rata-rata merupakan penggemar setia penyanyi berusia 56 tahun tersebut setelah 22 tahun tidak melaksanakan konsert solo. Rindu adalah sebuah ‘understatement’ untuk menggambarkan keinginan menyaksikan penyanyi dengan lontaran vokal hebat ini kembali di pentas dalam skala konsert solo.
Konsert ini juga merupakan anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse . Nyanyian ‘karaoke’ berantai menjadi saksi mereka untuk setiap lagu malah penampilan mereka muncul di konsert yang dipersembahkan oleh CSA Academy selaku penaja utama ini.
Penghibur yang mendapat gelaran Diva Pop itu kali terakhir mengadakan konsert solo menerusi Ziana Zain In The Park yang diadakan di PWTC (kini World Trade Centre) Kuala Lumpur pada tahun 2001.
“Saya sangat terharu dan sangat berterima kasih dengan kehadiran para peminat yang telah menjadi tulang belakang dalam kerjaya saya selama ini. Juga kepada pihak media yang sentiasa membantu saya dalam perjalanan karier dan tidak putus-putus membantu mempromosikan konsert ini,” ujar Ziana Zain.
Selaku pihak penganjur, Anuar Zain bagi pihak Anuar Zain Network Sdn Bhd juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures diatas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik bagi menjayakan konsert pada malam ini.
Pentas meriah ini menyaksikan Aubrey Suwito bertindak sebagai Pengarah Muzik serta pemain piano manakala Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert bersama nama-nama hebat dalam industri yang mengembleng tenaga, kreativiti dan antusias dalam konsert ini.
Konsert ini juga menyaksikan gandingan hebat pemuzik-pemuzik tanah air seperti Nan Alias (gitar), Wan Gigi (gitar), Gideon (bass), Derrick Siow (dram), Firdaus (keyboard), Steve Thornton (perkusi) serta Mariam, Fazira dan Affan sebagai penyanyi latar.
Konsert ini ditambahkan kemeriahan dan kekayaan bunyi dengan kehadiran barisan pemain violin iaitu Brian Larson, Ergys Koni, Mabel Wong, Melanie Ooi, Jacqueline Tan dan Joey Young. Juga diserikan dengan kehadiran Toko Inomoto (viola), Jonathan Oh (Cello) serta Zachary Suwito selaku protools operator.
Dalam durasi 2 jam lebih, penonton-penonton disajikan dengan lagu-lagu seperti Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Berpisah Jua, Dingin, Kekal Dan Puncak Kasih.