Industri muzik tanah air bakal diserikan dengan kemunculan single raya terbaharu berjudul “Raya Tak Nak Single”, hasil kolaborasi dua figura generasi baharu, Zaki Yamani dan Ahmad Merrah. Single ini dijadualkan menemui pendengar secara rasmi di semua platform digital pada Jumaat, 6 Mac 2026.
“Raya Tak Nak Single” merupakan lagu ciptaan bersama Emeer Bakri dan Amsyar Razqa, serta diterbitkan menerusi kerjasama antara A>Cap Music dan Sony Music Malaysia. Lagu ini menampilkan warna muzik yang segar, santai dan penuh karakter, selari dengan semangat perayaan yang lebih moden serta dekat dengan citarasa generasi masa kini.
Pada usia 20 tahun dan 19 tahun, Zaki Yamani dan Ahmad Merrah membuktikan bahawa legasi seni bukan sekadar diwarisi, tetapi perlu diterjemahkan melalui identiti dan suara sendiri. Zaki merupakan anak kepada legenda Datuk Jamal Abdillah, manakala Ahmad Merrah pula ialah anak kepada Dato’ Awie dari kumpulan Wings. Namun begitu, projek ini menampilkan mereka sebagai bakat muda yang berdiri atas kapasiti dan keupayaan sendiri dalam membina perjalanan seni masing-masing.
Video muzik “Raya Tak Nak Single” turut menjadi elemen istimewa dalam projek ini apabila kedua-dua artis melakonkan watak yang diinspirasikan daripada karakter filem yang pernah dilakonkan oleh bapa mereka. Pendekatan ini menjadi satu penghormatan simbolik terhadap legasi seni yang membesarkan mereka. Video muzik tersebut diarahkan oleh Esham dan menggabungkan elemen sinematik klasik bersama pendekatan visual moden yang sesuai dengan citarasa audiens digital masa kini.
Turut membuat penampilan istimewa dalam video muzik ini ialah Nazu, artis Sony Music Malaysia yang terkenal dengan persona uniknya, yang memegang watak sebagai gadis rebutan dalam naratif penceritaan video tersebut.
Menurut Zaki Yamani, projek ini sangat dekat di hatinya kerana ia bukan sekadar lagu raya, tetapi juga satu bentuk penghormatan kepada perjalanan seni keluarganya. Pada masa yang sama, beliau berharap generasi sekarang dapat melihat bahawa mereka juga mempunyai identiti tersendiri sebagai penggiat seni generasi baharu.
Ahmad Merrah pula berkongsi bahawa ini merupakan pengalaman pertamanya memasuki dunia rakaman serta berlakon dalam video muzik dengan konsep yang begitu bermakna. Menurutnya, pengalaman tersebut membuka ruang baharu dalam perjalanan seninya dan memberi peluang untuk meneroka potensi diri dengan lebih luas.
Dengan pengaruh yang semakin berkembang di media sosial, kedua-dua artis ini turut memiliki capaian yang signifikan dalam kalangan generasi muda. Zaki Yamani kini mempunyai lebih 1.1 juta pengikut di Instagram serta sekitar 464.7 ribu pengikut di TikTok, manakala Ahmad Merrah mempunyai sekitar 30.2 ribu pengikut di Instagram dan kira-kira 189.9 ribu pengikut di TikTok. Gabungan kekuatan platform seperti TikTok dan Instagram dijangka memberi impak besar terhadap penyebaran lagu ini menjelang musim perayaan.
Lagu “Raya Tak Nak Single” dipersembahkan oleh Zaki Yamani dan Ahmad Merrah, dengan komposisi serta lirik oleh Emeer Bakri dan Amsyar Razqa yang turut bertindak sebagai produser muzik. Lagu ini diterbitkan melalui kerjasama A>Cap Music dan Sony Music Malaysia.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan promosi atau temu bual boleh diajukan kepada Jabatan Domestik Sony Music Entertainment Malaysia atau A>Capital melalui Veea Norman di talian +6013 203 2130 atau e-mel veea.norman@sonymusic.com, Fitrah Ilahi di talian +6013 200 0813 atau e-mel fitrah.ilahi@sonymusic.com, serta AJ di talian +6017 237 0549 atau Ainun di talian +6019 542 3542 melalui e-mel archivecapital@gmail.com.