Seramai 19 wakil media antarabangsa dan Key Opinion Leaders (KOL) dari enam negara telah dihimpunkan oleh Tourism Malaysia menerusi program Mega Familiarisation (Mega Fam) sempena kejohanan berprestij PETRONAS Grand Prix of Malaysia (MotoGP 2026). Program selama lima hari yang bermula dari 29 Oktober hingga 2 November 2026 ini melibatkan delegasi dari China, India, Filipina, Sri Lanka, Indonesia dan Thailand.

Sesi khas “Meet & Greet” yang diadakan di IRAMA Dining Kuala Lumpur menjadi titik permulaan bagi para delegasi merasai sendiri keunikan pelancongan Malaysia yang merangkumi sukan permotoran, kebudayaan, warisan, gastronomi serta gaya hidup moden. Inisiatif strategik ini dilaksanakan bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 (VM2026-2027) melalui peningkatan liputan media global dan pengukuhan keterlihatan negara di persada antarabangsa.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, En. Mohd Akbal Setia, penganjuran Program Mega Fam adalah platform terbaik untuk memperkukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia. Melalui gabungan keterujaan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan penerokaan tarikan ikonik tempatan, pihak kementerian berhasrat mencetuskan minat pelancong global untuk terus memilih Malaysia sebagai destinasi percutian utama mereka.

Antara intipati penting jadual perjalanan peserta termasuklah lawatan eksklusif “Night Track Tour” di SIC, kunjungan ke Kuala Lumpur City Gallery, Batu Caves, Tokong Thean Hou serta pengalaman membeli-belah di pusat beli-belah terkemuka seperti The Exchange TRX. Para delegasi turut disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan di Malaysia Tourism Centre (MATIC) serta merasai sendiri kelazatan hidangan tradisional Nusantara.
Dengan rekod memberangsangkan mencatatkan 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa dari Januari hingga September 2026-peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, usaha berterusan seperti Mega Fam ini diyakini mampu terus melonjakkan sektor pelancongan negara ke tahap yang lebih gemilang sempena tahun melawat Malaysia.













