Usaha Merapatkan Jurang Infrastruktur Luar Bandar Perlis
Usaha kerajaan dalam merapatkan jurang infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar terus dipergiat menerusi Kementerian Perpaduan Negara (KPN). Terkini, sebanyak RM500 ribu telah diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf dan pembangunan menyeluruh di Kampung Panggas Kecil, Kangar, yang diangkat sebagai Kampung Angkat MADANI KPN bagi tahun ini. Majlis penyerahan projek penting tersebut telah disempurnakan dengan jayanya oleh Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid.
Skop pelaksanaan projek pembangunan di kampung berkenaan merangkumi pelbagai komponen utama demi keselesaan penduduk setempat. Antara penambahbaikan fizikal yang dilaksanakan termasuklah menaik taraf surau Kampung Panggas Kecil melalui penggantian bumbung, pembaikan struktur tandas dan bangunan, pendawaian elektrik baharu serta pemasangan penyaman udara dan sistem audio visual. Selain itu, pembinaan sebuah dewan atau balai terbuka lengkap dengan stor dan kelengkapan memasak turut disediakan bagi memudahkan aktiviti kemasyarakatan dijalankan.
Pelaksanaan Projek Komprehensif Kampung Angkat MADANI KPN
Projek ini turut memberi tumpuan kepada aspek kebajikan dan keselamatan apabila kerja-kerja membaik pulih empat buah rumah asnaf terpilih, menaik taraf kawasan kubur Hulu dan Hilir termasuk pembinaan kabin stor serta penyediaan Kabin Skim Rondaan Sukarela (SRS) turut disempurnakan. Lebih menarik lagi, inisiatif ini menampilkan kelainan menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui kaedah latihan praktikal atau On Job Training (OJT) yang melibatkan kepakaran teknikal tenaga pengajar dan pelajar institusi pengajian tinggi tersebut.

Inovasi Sosial, Pemerkasaan TVET dan Kelestarian Tenaga Solar
Melalui pendekatan inovasi sosial dan tadbir urus silang agensi ini, KPN berjaya menterjemahkan konsep “Whole of Government” yang membolehkan pembangunan infrastruktur berjalan seiring dengan pemerkasaan agenda TVET negara. Pemasangan sebanyak 40 unit lampu solar beserta tiang di sekitar kampung turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan keselamatan penduduk pada waktu malam. Diharapkan inisiatif murni ini dapat memberi impak positif yang berpanjangan kepada sosioekonomi penduduk Kampung Panggas Kecil.













