The Voice of Hind Rajab Raih 39,000 Tontonan, Suara Kemanusiaan Bergema di Malaysia & Brunei

Kini ditayangkan di 51 lokasi di seluruh Malaysia dan Brunei, The Voice of Hind Rajab mencatat pencapaian memberangsangkan dengan 39,000 tontonan setakat ini, sekali gus membuktikan sokongan padu penonton terhadap karya berteraskan kemanusiaan ini. Berita baik ini dikongsikan sendiri oleh Zainal Rashid Ahmad (ZRA) petang tadi, yang teruja dengan sambutan luar biasa daripada penonton.

Menurut ZRA, “Terima kasih kepada rakyat Malaysia dan semua yang telah hadir pada hari ke-9, 10, dan 11 tayangan filem. Kita berada pada tahap ini berkat sokongan anda. Kita kini mendaki tangga ketiga sebagai negara yang mencatat jumlah penonton terbanyak bagi The Voice of Hind Rajab.” Beliau menambah, “Mungkin hari ini kita mampu menandingi Belgium dengan sokongan anda. Kejutan paling besar, kita menerima 3,000 tontonan pada hari Jumaat, 7,400 pada hari Sabtu, dan lebih 5,000 orang pada hari Ahad semalam.”

ZRA turut menyatakan rasa kagum terhadap sambutan yang diterima. “Kami tidak pernah menjangkakan sebuah filem yang menceritakan tentang sejarah perjuangan kemanusiaan mampu berada dalam kelompok kutipan box office di Malaysia. Ini membuktikan Malaysia adalah pasaran berpotensi untuk filem-filem kemanusiaan selain genre hiburan yang biasanya diketengahkan,” jelas beliau.

Pencapaian ini memperlihatkan peningkatan konsisten dari hari ke hari, dengan momentum tontonan dijangka terus berkembang dan berpotensi mencecah 80,000 penonton menjelang minggu hadapan, sejajar dengan pertambahan kesedaran awam serta sokongan berterusan daripada masyarakat.

Diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films dengan Primeworks Studios sebagai pengedar serta rakan pemasaran rasmi, The Voice of Hind Rajab diarahkan oleh pengarah tersohor Tunisia, Kaouther Ben Hania, dan dibintangi oleh barisan pelakon antarabangsa seperti Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel, dan Clara Khoury. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu bukti dan suara abadi yang menyentuh jiwa dan menyentak emosi.

Sebagai simbol empati dan solidariti, Media Prima akan menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima. Penonton boleh menyaksikan kisah inspirasi ini di pawagam sekarang dan mengikuti perkembangan terkini serta kandungan eksklusif The Voice of Hind Rajab melalui Facebook, Instagram, X, dan YouTube Primeworks Studios.