Suasana Raya di Hong Kong: Kolaborasi Raya Ernie Zakri & Syamel Penuh Ceria dan Mesra Muslim

Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, dua ikon ternama industri muzik tempatan, Ernie Zakri dan Syamel, kembali bergabung menerusi single raya terbaharu berjudul Suasana Raya. Lagu ini merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board, yang turut menampilkan penggambaran muzik video di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim di sekitar Hong Kong.

Suasana Raya menampilkan gabungan melodi klasik raya, lirik yang menyentuh jiwa, dan keserasian vokal kedua-dua penyanyi ini, merakamkan keindahan pagi Syawal yang penuh ketenangan, kesyukuran, dan kebersamaan keluarga. Lagu ini bukan sahaja menjadi hiburan perayaan, malah berperanan sebagai runut bunyi yang menghidupkan semula memori indah Aidilfitri yang dirindui ramai.

Kolaborasi bersama Hong Kong Tourism Board membawa dimensi visual yang segar kepada lagu ini, dengan latar lokasi yang moden, meriah, dan mesra Muslim. Menurut Ernie, Hong Kong sangat sesuai dengan konsep lagu dan video muzik ini kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan mereka mencari pelbagai pilihan makanan halal, termasuk di Islamic Centre Canteen, selain berpeluang melawat tempat ibadah seperti Kowloon Mosque. Bandar yang vibrant dan tarikan pelancongan mesra keluarga seperti Ocean Park juga menjadikan pengalaman penggambaran ini bermakna, sambil mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga.

Suasana bandar Hong Kong yang dinamik turut menjadi inspirasi kepada konsep keseluruhan video muzik. Menurut Syamel dan Ernie, mereka mahu peminat merasai vibe meriah yang sama melalui Suasana Raya, di mana budaya dan persekitaran di sana memberikan elemen visual moden dan unik, selari dengan lagu yang menggabungkan unsur raya tradisional dan moden.

Bagi menghargai sokongan peminat, Syamel dan Ernie Zakri menganjurkan sesi tontonan awal video muzik Suasana Raya pada 17 Februari 2026 di Aurum Theatre, Kuala Lumpur. Peminat terpilih berpeluang menonton video muzik ini sebelum ia dilancarkan secara rasmi dan turut mempelajari koreografi yang ditampilkan dalam MV bersama artis, menjadikan sesi ini lebih istimewa dan bermakna. Ernie Zakri berkongsi bahawa sesi fans gathering ini sangat bermakna kerana mereka dapat berkongsi momen tersebut dengan peminat yang sentiasa memberi sokongan.

Dikenali dengan lagu-lagu balada penuh emosi, Ernie menyifatkan rakaman lagu ini sebagai pengalaman yang menyeronokkan dan berbeza. Lagu ini santai dan ceria, dan keserasian mereka dengan Syamel membantu menghasilkan penyampaian yang semula jadi dan ikhlas. Bagi Syamel pula, kekuatan utama lagu ini terletak pada melodinya yang catchy dan sangat sinonim dengan kemeriahan suasana perayaan. Menyampaikan lagu yang ceria memerlukan emosi yang jujur agar kegembiraan dapat sampai kepada pendengar, dan sepanjang proses rakaman mereka menyanyi dengan tersenyum untuk memastikan emosi itu terpancar.

Berkongsi pengalaman penggambaran muzik video, Syamel menyifatkan ia sebagai satu memori yang sangat bermakna untuk mereka sekeluarga. Rakaman MV ini terasa seperti percutian keluarga kerana mereka dapat membawa anak mereka, Khawla, ke set penggambaran dan ke lokasi menarik di Hong Kong, menjadikan pengalaman itu bukan sekadar penggambaran tetapi kenangan indah yang dikongsi bersama.

Kedua-dua artis berharap agar lagu ini menjadi salah satu lagu raya yang terus dimainkan saban tahun dan terus kekal di hati peminat. Suasana Raya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.