Siti Saleha Bawa Harapan Malaysia di Seoul International Drama Awards 2024

Pelakon terkenal, Siti Saleha, kini berjaya menarik perhatian apabila dicalonkan dan mendahului undian untuk kategori Outstanding Asian Star di Seoul International Drama Awards 2024 (SDA). Pencalonan ini mendapat sokongan padu daripada peminatnya di seluruh Asia, terutamanya menerusi lakonannya yang memukau dalam drama Tonton Original, SeOfis. Anugerah yang amat dinantikan ini bakal berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, pada 25 September 2024.

Siti Saleha meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka dirinya terpilih untuk pencalonan yang dianggap sebagai pengiktirafan berprestij. “Saya sangat terkejut dan berterima kasih dengan pencalonan ini. Tidak pernah saya bayangkan akan dicalonkan untuk kategori besar seperti Outstanding Asian Star. Ini adalah satu penghormatan besar buat saya, dan saya sangat bersyukur atas sokongan luar biasa daripada peminat di seluruh Asia. Saya berharap pencalonan ini akan membuka lebih banyak peluang untuk saya serta rakan-rakan artis di Malaysia meneroka pentas antarabangsa,” kata Siti Saleha dengan penuh rasa rendah hati.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005, Seoul International Drama Awards memainkan peranan penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya melalui medium drama dan kini telah berkembang menjadi platform global untuk meraikan bakat dari seluruh dunia. Anugerah ini bertujuan menghargai pelakon yang telah menyerlah sepanjang tahun lalu. Trofi Outstanding Asian Star akan memilih tujuh pemenang dari enam negara – Korea (Lelaki & Perempuan), Thailand, Malaysia, Singapura, Filipina, dan Indonesia. Proses pemilihan pemenang dilakukan melalui undian global yang dijalankan menggunakan aplikasi IDOL CHAMP dari 15 Jun hingga 14 Julai 2024.

Siti Saleha turut berkongsi bahawa pencalonan ini bukan sahaja bermakna buat dirinya, tetapi juga untuk industri hiburan tanah air. “Setiap anak seni pastinya mengimpikan untuk meraih kemenangan di pentas antarabangsa, apatah lagi berkongsi pentas dengan artis-artis hebat dunia. Ini adalah peluang besar, bukan hanya untuk mewakili negara tetapi juga untuk membuktikan bahawa Malaysia memiliki bakat yang mampu bersaing di peringkat global. Saya yakin ini boleh menjadi titik permulaan bagi perkembangan yang lebih besar dalam industri seni kita,” ujar Siti Saleha penuh harapan.

Kali terakhir Malaysia mencapai kemenangan dalam kategori ini adalah pada tahun 2017. Dengan pencalonan Siti Saleha, harapan besar disandarkan kepada negara untuk sekali lagi berjaya di pentas antarabangsa, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pelakon terbaik di Malaysia.

Siri SeOfis yang menampilkan Siti Saleha sebagai pelakon utama membawa kisah menarik mengenai cabaran dalam dunia korporat. Ia mengisahkan tiga wanita berkerjaya di usia 30-an yang berdepan dengan pelbagai dugaan di kota raya. Hubungan yang pada mulanya profesional akhirnya berubah menjadi persahabatan yang erat ketika mereka saling berkongsi liku-liku kehidupan, impian, dan kisah cinta. Selain Siti Saleha, drama ini turut dibintangi oleh nama-nama besar seperti Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, dan Fahrin Ahmad, menjadikan ia sebuah karya yang mantap dan penuh emosi.

Pencalonan Siti Saleha ini tidak hanya memberikan impak kepada kariernya, tetapi juga membuktikan bahawa bakat seni Malaysia mampu menembusi sempadan antarabangsa dengan jayanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *