Bukan calang-calang penangan drama Suamiku Anak Mak apabila beberapa potongan babak yang tular di media sosial pun sudah cukup membuatkan penonton beremosi. Terbaharu, penyanyi Shila Amzah turut berkongsi reaksinya selepas melihat sedutan drama tersebut di Threads.
Menerusi perkongsian santainya, Shila mengakui dirinya tidak cukup sabar untuk mengikuti kisah drama berkenaan kerana potongan video yang lalu di media sosial sudah cukup membuatkan emosinya terusik.
Reaksi spontan itu nyata mencuit perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila penonton lain turut berkongsi rasa geram terhadap gelagat watak Mak Leha dan Haris.
Watak Mak Leha yang dilakonkan oleh Dian P. Ramlee menjadi antara karakter yang paling banyak diperkatakan. Tindakannya yang sering mencetuskan ketegangan dalam rumah tangga anaknya membuatkan ramai penonton meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.
Dalam masa yang sama, Haris yang dibawakan oleh Keith Foo turut menerima kritikan. Ramai penonton mempersoalkan pendiriannya sebagai seorang suami apabila konflik antara ibunya dan isterinya, Zaraa, semakin menjadi-jadi.
Di sebalik rasa geram yang dirasai penonton, konflik inilah yang menjadikan Suamiku Anak Mak semakin menarik untuk diikuti. Isu hubungan antara ibu mentua, menantu dan tanggungjawab seorang suami selepas berkahwin merupakan perkara yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
Persoalannya bukanlah sama ada seorang anak lelaki perlu memilih antara ibu atau isteri, sebaliknya bagaimana dia mampu menjalankan tanggungjawab terhadap kedua-duanya tanpa membiarkan konflik berpanjangan.
Dibintangi Emma Maembong, Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam, drama ini terus mencetuskan pelbagai reaksi dan perbualan dalam kalangan penonton.
Suamiku Anak Mak kini ditayangkan menerusi slot Megadrama, jam 10 malam di Astro Ria dan boleh distrim melalui sooka.













