
Aura diraja membawa tuah berganda buat Muhammad Aidil Luqman Hakim dan si bulus kesayangannya, Sashimi, apabila dinobatkan sebagai juara pentas akhir Purina Felix Cat Fashion Week musim kedua, sekali gus merangkul gelaran “Super Meow-del” berserta trofi kejuaraan dan wang tunai RM5,000. Menerusi persembahan bertemakan “The Royal Golden Renaissance”, pasangan ini memukau penonton serta juri dengan aksi dramatik berpedang sebelum Sashimi melangkah megah sebagai pemerintah diraja yang diiringi dua pengawal peribadi. Tempat kedua pula disandang oleh Ahmad Fazwan dan Athity Amore menerusi konsep “Silver Purrince of Perak: Legasi Sebuah Impian”, manakala Syazreen Damia bersama Micco menduduki tempat ketiga dengan persembahan berinspirasikan “The Greatest Feline Diva Micco”.
Pentas akhir yang meriah ini turut menyaksikan Azizah bersama Lolalisa Braveheart merangkul Anugerah Meow-nificent, manakala Ahmad Fazwan membolot Anugerah Felix menerusi persembahan penuh bermakna. Rancangan yang dibawakan oleh Felix selaku penaja utama dan Meow Meow sebagai penaja bersama ini turut menampilkan persaingan sengit daripada finalis lain seperti Aiman & Seri Embun serta Farah & Mochi yang mengangkat konsep mafia kreatif. Menurut Puan Anida selaku Pengurus Besar Kanan Strategi Kandungan & Audiens TV3 & TV9, penganjuran musim ini lebih istimewa dengan pengenalan sesi masterclass dan kolaborasi pereka fesyen terkenal seperti Kashfi Zulkufli bagi membantu finalis mengembangkan kreativiti dan busana si bulus. Dikendalikan oleh hos Fiza Frizzy dan Sissy Imann, malam kemuncak itu turut diserikan dengan persembahan bertenaga daripada Aina Abdul, Ayda Jebat, dan Nabila Razali, manakala barisan juri menampilkan Aina Abdul bersama Mark Adam dan Mohd Jeffri. Kejayaan program ini turut dibuktikan dengan catatan memberangsangkan iaitu 3.2 juta capaian tontonan di kaca televisyen serta 881 juta capaian di media sosial.














