
Slot Lestary TV3 kembali memukau penonton menerusi sebuah naskhah drama bersiri terbaharu yang sarat dengan pengajaran hidup bertajuk ‘Reset Jalan Kedua’. Terbitan Anomalous Films di bawah arahan sutradara berkaliber Fairul Nizam Ablah, drama ini mula bersiaran pada 30 Oktober 2026, mengisi slot tayangan setiap hari Jumaat dan Sabtu pada jam 9.00 malam. Menampilkan barisan pelakon muda berbakat besar seperti Lorenzo Irman, Amylia Aidura, Idan Aedan, Ellyza Aziera, dan Maxximus Towle, serta diperkasakan dengan penampilan mantap pelakon senior Edika Yusoff dan Adriana Adnan, naskhah ini menjanjikan kualiti lakonan yang bertenaga dan menyentuh hati.
Cerita ini berpusat kepada watak Rudy (lakonan Lorenzo Irman), seorang bekas juvana berusia 18 tahun yang tekad untuk membina semula kehidupannya selepas dibebaskan. Walaupun berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan melangkah masuk ke kolej dalam bidang kejuruteraan, perjalanan Rudy jauh daripada kata mudah. Keadaannya bertambah runcing apabila status silamnya dibongkar oleh Khairy (Idan Aedan), seorang pelajar pembuli yang menggunakan pengaruh keluarganya untuk menggugat ketenangan Rudy. Meskipun berdepan dengan kemelut di-pulaukan, fitnah pencurian, serta petisyen penyingkiran, Rudy tetap teguh berjuang dibantu oleh rakan karibnya, Amri (Maxximus Towle), dan penyokong setianya, Mira (Amylia Aidura), demi mempertahankan maruah serta haknya untuk mendapatkan peluang kedua dalam hidup.
Menurut pengarahnya, drama ini bukan sekadar hiburan remaja biasa, sebaliknya ia mengetengahkan isu sosial yang berat mengenai stigma masyarakat terhadap individu yang pernah tersilap langkah tetapi berazam untuk berubah. Menerusi paparan realiti kehidupan yang penuh liku antara prasangka dan kemaafan, penonton diharap dapat mengambil iktibar positif daripada mesej yang ingin disampaikan. Bagi yang tidak mahu terlepas mengikuti perkembangan kisah ini, penonton boleh menyaksikannya di kaca televisyen menerusi slot Lestary TV3 atau menikmati strim episod baharu 24 jam lebih awal di platform Tonton, di samping mengikuti akaun media sosial rasmi TV3 dan Drama Sangat untuk pelbagai info terkini.












