Johor Darul Ta’zim FC (JDT) sekali lagi membuktikan status mereka sebagai pelopor inovasi bola sepak tanah air apabila melancarkan filem dokumentari eksklusif berjudul ‘UNTAMED’ berserta platform penstriman rasmi kelab, JDT+.
Menduduki ranking No.1 di Asia Tenggara dan tangga ke-10 di Asia dengan rekod 35 trofi dalam tempoh 13 tahun, dokumentari berdurasi 76 minit ini membawa penonton menyelami realiti sebenar di sebalik empayar “Southern Tigers”. Apa yang lebih menarik, dokumentari ini turut memaparkan perspektif peribadi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sekaligus pemilik JDT, mengenai visi serta aspirasi dalam menetapkan penanda aras baharu bola sepak tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, pelancaran JDT+ dan UNTAMED mencerminkan strategi jangka panjang kelab untuk terus memperkukuhkan jenama sukan di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan sesebuah kelab bukan hanya diukur melalui keputusan di padang atau jumlah trofi, tetapi budaya profesionalisme dan keupayaan meningkatkan standard musim demi musim. Menerusi JDT+, kami membawakan pendekatan yang mendekatkan penyokong dengan realiti sebenar kelab,” ujar beliau.
Selain paparan eksklusif dari bilik persalinan dan padang latihan, UNTAMED turut menghimpunkan figura penting termasuk Ketua Pegawai Operasi Alistair Edwards, Pengarah Kewangan Dato’ Seri Jaifuddin, Pengarah Projek Khas Kevin Ramalingam, serta tonggak pemain seperti Arif Aiman, Bergson da Silva, Matt Davies dan Corbin Ong. Malah, penampilan figura luar seperti Khairy Jamaluddin dan Joe Flizzow turut memperkaya penceritaan dokumentari ini.
Bagi peminat yang tidak sabar menyaksikan perjalanan di sebalik tabir ini, JDT+ menawarkan langganan “Season Pass” berharga RM69 bagi musim 2026/27 di www.jdtplus.com. Pelanggan bukan sahaja boleh menonton UNTAMED, malah bakal menikmati siri original baharu seperti OUTBOUND yang mengisahkan cabaran JDT dalam saingan AFC Champions League Elite bermula November ini.














