

Program bual bicara kesihatan popular TV3, Helo Doktor, kini melangkah setapak lagi dalam mendekati masyarakat menerusi penganjuran Helo Doktor Tour by MHTC hasil kerjasama strategik bersama Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), TV3, dan Tourism Malaysia. Program jelajah berskala besar ini telah dirasmikan secara rasmi di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, dengan menyerlahkan kehadiran barisan pengacara popular rancangan itu iaitu Anim Ezati Rizki dan Nadia Azmi. Inisiatif bermakna ini digerakkan khusus untuk membawakan perkongsian kesihatan, akses terus kepada kepakaran perubatan, serta peluang mengenali perkhidmatan hospital ahli MHTC kepada masyarakat tempatan, komuniti, dan pelancong kesihatan antarabangsa, di samping memainkan peranan penting dalam menyokong kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT2026) yang mengangkat naratif “Healing Meets Hospitality”.
Sebagai permulaan, siri jelajah ini bakal membuka tirai menerusi program rintis (pilot event) di Publika, Kuala Lumpur pada November 2026 ini, sebelum diteruskan secara berkala setiap suku tahun sepanjang tahun 2027. Perjalanan jelajah ini dijangka merangkumi pelbagai lokasi strategik di seluruh negara termasuklah zon utara, selatan, timur, dan barat Semenanjung Malaysia, tidak ketinggalan juga negeri Sabah dan Sarawak. Sepanjang siri jelajah ini berlangsung, para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti berfaedah seperti sesi perkongsian interaktif bersama barisan pakar perubatan terkemuka, mendapatkan pemeriksaan serta saringan kesihatan secara percuma, di samping meneroka pelbagai kemudahan perubatan moden bertaraf dunia yang ditawarkan oleh rangkaian hospital ahli MHTC.
Lebih istimewa lagi, inisiatif ini turut diperkasakan melalui penyiaran segmen khas berdurasi 10 minit yang diselitkan dalam empat episod rancangan Helo Doktor di TV3, menampilkan penglibatan langsung pihak pengurusan MHTC serta wakil hospital bernaung di bawahnya. Selain siaran di kaca televisyen, pengisian program ini turut diperluaskan menerusi pelbagai saluran platform digital bagi memastikan mesej kesedaran kesihatan yang sahih dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat tanpa batasan. Usaha kolaboratif berskala nasional ini bukan sahaja bertindak sebagai platform kesihatan komuniti, malah ia terus memperkukuh reputasi Malaysia sebagai Destinasi Penjagaan Kesihatan Pilihan (Preferred Healthcare Destination) yang ulung di rantau ini.











