SCHA ELINNEA TERJERAT DENGAN PERKAHWINAN BERSAMA PELAKON BAHARU JAZMY JUMA?

Selepas kehilangan keluarga dan terjerat dalam perkahwinan, Nuh dan Nayla menjalani hidup yang penuh liku dan cabaran, namun dipertemukan oleh takdir dalam keadaan yang tidak diduga. Terbaharu di slot Akasia, drama Nuh & Nayla membawakan gandingan dua pelakon baharu berbakat besar, Jazmy Juma dan Scha Elinnea yang memegang watak utama.  Drama ini bersiaran mulai hari ini, 1 Julai 2024, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton.

Nuh & Nayla, drama yang inspirasi dari novel mengisahkan tentang Nuh (lakonan Jazmy Juma) yang telah kehilangan kedua orang tuanya dan memilih untuk tinggal bersama datuknya, Tuan Ibrahim (Hilal Azman).  Nuh dibesarkan dan dilatih oleh datuknya untuk menjadi penerus legasi perniagaan, sehingga dia sanggup mengorbankan impiannya. Nuh yang mempunyai urusan perniagaan dengan syarikat Jiha (Ezzanie Jasny) bekerja, dia berkenalan dengan Jiha sehingga membuatkan Jiha jatuh cinta dan bertekad untuk menambat hatinya dengan cara kotor. Jiha kemudian berjaya memiliki Nuh, namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian apabila Nuh menyedari bahawa dia sebenarnya dijadikan kambing hitam untuk menutup kesilapan yang Jiha lakukan tanpa pengetahuannya.

Selepas perceraian, Nuh mendapat berita bahawa Jiha menghidap penyakit kanser hati dan tiada harapan untuk sembuh. Nuh mula merasa simpati dan menyesal atas khilafnya terhadap Jiha semasa mereka masih bergelar suami isteri dahulu. Jiha yang memikirkan jangka hayatnya tidak lama, meminta Nuh untuk menikahi adik angkatnya iaitu Nayla (Scha Elinnea) untuk bersama-sama membesarkan anaknya, Addin.

Nuh dan Nayla akhirnya berkahwin atas dasar amanah yang diberikan. Selepas beberapa bulan, Addin meninggal dunia akibat masalah jantung. Ekoran dari itu, Nayla menganggap tiada lagi alasan untuk mereka meneruskan perkahwinan. Nayla terus menuntut perceraian namun Nuh menolak atas alasan bimbang akan mengulangi kesilapan yang lalu. Oleh disebabkan itu, Nayla meminta izin untuk keluar dari rumah dan berjanji akan kembali semula bagi menyelesaikan hal antara mereka. 

Sebagai pelakon baharu Jazmy Juma berharap agar lakonan beliau dapat memberikan impak kepada penonton dan menjadikan Nuh & Nayla sebagai drama yang wajib ditonton, ‘’Saya amat bersyukur dan gembira apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan watak utama dalam drama Nuh & Nayla. Sejujurnya watak utama sebagai hero ini adalah watak yang sangat berat dan tanggungjawab yang besar untuk saya kerana perlu bermain dengan pelbagai jenis emosi. Saya perlu mencari idea dan cara untuk lebih mendalami karakter yang dibawa. Alhamdulillah saya rasa saya dapat membawa karakter Nuh ini dengan baik dan berharap agar drama Nuh & Nayla mendapat sambutan yang baik daripada penonton.’’ 

Manakala menurut Scha Elinnea, “Bagi saya, setiap watak mempunyai cabaran yang tersendiri. Untuk drama ini, saya memegang watak sebagai Nayla, seorang yang menghidapi serangan panik kerana pernah mengalami trauma dalam kehidupan.  Watak tersebut sangat berkait rapat dengan kesihatan mental yang saya sendiri pernah alami yang mana kadangkala ianya menyerang ketika di set penggambaran. Namun begitu, saya gembira diberikan peluang membawakan watak Nayla yang sangat berbeza berbanding dengan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini.”

Drama bersiri 28 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang diarahkan oleh Idora Abdul Rahman ini menawarkan plot yang penuh dengan liku-liku kehidupan, percintaan, dan pengorbanan. Drama ini turut menyentuh isu-isu sosial seperti perjuangan hidup dan erti sebenar keikhlasan dalam hubungan, bagaimana dua jiwa yang berbeza boleh saling melengkapi.

Nuh & Nayla menampilkan barisan pelakon hebat dan berbakat seperti Scha Elinnea, Jazmy Juma, Ezzanie Jasny, Arfie Shah, Yusof Hashim, Hilal Azman, Zila Bakarin, Puteri Khareeza, Lisdawati dan ramai lagi.  Dengan gabungan skrip yang mantap, arahan yang berkesan, serta lakonan hebat barisan pelakon, drama ini diyakini akan menjadi fenomena baharu serta dapat mengulangi kejayaan drama-drama terdahulu dan mendapat sambutan hangat daripada penonton. 

Adakah Nuh dan Nayla akan menemukan kebahagian? Saksikan kisah yang penuh dengan emosi dan pengorbanan ini dalam drama Nuh & Nayla menerusi slot Akasia bermula 1 Julai 2024, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan strim episod baharu 24 jam lebih awal melalui Tonton melalui www.tonton.com.my.  Anda juga boleh muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store. 

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *