Apabila kejayaan material dan kemasyhuran tidak lagi mampu mengisi kekosongan jiwa, kebahagiaan sebenar kadangkala ditemui di tempat yang paling tidak disangka. Bermula 14 Februari 2026, Tonton menerusi Tonton Original bakal membawakan naskhah komedi romantik 10 episod berjudul Namamu Cinta yang menyentuh hati, menampilkan gandingan teraju utama Zara Zya dan Jazmy Juma dalam merungkai pencarian jati diri serta erti kebahagiaan sebenar. Siri ini akan disiarkan secara eksklusif setiap Sabtu dan Ahad di platform tersebut.
Diarahkan oleh Khairi Anwar dengan skrip nukilan Anwar Hadi dan Baizura Kahar, drama terbitan Red Communications ini menyatukan Zara Zya dan Jazmy Juma buat pertama kali sebagai pasangan utama, sekali gus menjadi antara tarikan istimewa. Turut membintangi siri ini ialah Shahz Jaszle, Syad Mutalib, Sobri Anuar serta Nor Albaniah yang memperkukuh penceritaan menerusi lakonan mantap masing-masing.
Siri ini mengisahkan Nuna, seorang usahawan fesyen berjaya yang berdisiplin tinggi dan obses untuk menang dalam setiap aspek kehidupan. Namun tekanan hidup serta konflik rumah tangga membawa kepada perceraian dengan Hisham, seorang pelakon popular, sekali gus meruntuhkan dunia yang selama ini dibinanya. Demi menyembuhkan luka, Nuna memilih untuk berpindah sementara ke Kampung Bagan Lalang bersama bapanya. Di sana, takdir menemukan dia dengan Aslan, seorang pembuat batik muda berbakat yang memilih kehidupan sederhana dan menjadikan seni batik sebagai cerminan jiwa serta falsafah hidupnya. Pertembungan antara dunia kompetitif Nuna dan ketenangan Aslan melahirkan hubungan yang unik, dipenuhi salah faham, detik mencuit hati dan momen yang menyentuh perasaan.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Anis, teman rapat yang menyimpan perasaan terhadap Aslan, berasa tergugat dengan kehadiran Nuna. Ketegangan memuncak apabila Hisham muncul semula untuk meraih simpati dan menuntut tempat dalam hidup bekas isterinya itu, meletakkan Nuna dalam dilema antara kenangan lama atau masa depan yang lebih tenang.
Menurut Zara Zya, watak Nuna yang bersifat ‘perfectionist’ sering membawa sikap profesionalnya ke dalam kehidupan peribadi, termasuk ketika berada di dunia Aslan. Beliau menyifatkan gandingan bersama Jazmy Juma sebagai pengalaman yang menyeronokkan kerana perbezaan karakter mereka menjadikan interaksi di layar tampak semula jadi dan menghiburkan. Jazmy pula berkongsi bahawa watak Aslan yang santai dan mengikut rentak sendiri mencipta dinamika menarik apabila berhadapan dengan sifat tergesa-gesa Nuna. Keserasian mereka di set turut diperkukuh dengan perbincangan idea bagi memastikan pertembungan dunia usahawan bandar dan pemuda kampung itu dapat disampaikan dengan berkesan kepada penonton.
Diperkaya dengan keindahan seni batik sebagai latar penceritaan, Namamu Cinta menjanjikan kisah tentang bagaimana satu pertemuan yang tidak disengajakan mampu mengubah perspektif terhadap cinta, kerjaya dan erti kehidupan sebenar. Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti platform media sosial @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram.












