Pelancaran Akademi Bateriku Lonjak Tenaga Kerja Mahir Automotif 2024

akademik

Bateriku.com dengan penuh kebanggaan telah melancarkan Akademi Bateriku, satu inisiatif yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, di TTDI Jaya, Shah Alam. Majlis ini menandakan langkah penting bagi Bateriku.com dalam memperkasakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor automotif dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. Usaha ini selari dengan aspirasi negeri Selangor yang komited untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi hijau dan mampan.

Majlis perasmian yang meriah itu dihadiri oleh lebih 120 jemputan kehormat, termasuk wakil-wakil dari agensi penting seperti Invest Selangor, MBSA, MIDA, MARA Selangor, serta beberapa organisasi lain. Antara acara utama ialah upacara menandatangani plak perasmian oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, diikuti tayangan video dan infografik yang memperincikan perkembangan dan kejayaan Bateriku.com. Turut dikongsikan ialah inisiatif baru mereka dalam memperkukuh peranan sebagai pemain utama dalam sektor perkhidmatan automotif negara.

Ditubuhkan pada Mac 2014, Bateriku.com merupakan sebuah syarikat milik penuh Bumiputera yang menyediakan perkhidmatan “Connected Roadside Assistance” seperti penggantian bateri, bantuan kecemasan, dan perkhidmatan bengkel kepada lebih daripada 1.5 juta pemilik kenderaan di seluruh negara. Akademi Bateriku, yang beroperasi sebagai anak syarikat, berjaya memperoleh pentauliahan penuh pada tahun 2023 daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Program Penilaian Amali (PPA-PPT) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Akademi ini bertujuan untuk menyediakan latihan komprehensif dalam tempoh yang singkat kepada ekosistem Bateriku.com, rakan industri, golongan belia, dan komuniti.

Beberapa rakan industri utama yang terlibat dalam inisiatif ini termasuk Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), GIAT MARA, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), dan Petronas AutoExpert. Kerjasama ini diharapkan dapat memperluas impak latihan dan pembangunan bakat dalam sektor automotif tempatan.

Sehingga kini, Akademi Bateriku telah berjaya melatih hampir 1,500 juruteknik mobil bergerak yang dikenali sebagai BHero, melahirkan 78 usahawan di bawah program BPreneur, dan telah melatih lebih daripada 500 mekanik di seluruh Malaysia. Modul latihan yang ditawarkan merangkumi tahap 2 hingga tahap 4 dan meliputi pelbagai jenis kenderaan seperti kenderaan bermotor konvensional (Petrol, Diesel), kenderaan hibrid, serta kenderaan elektrik (EV).

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Amirudin menegaskan bahawa Akademi Bateriku merupakan satu langkah strategik yang seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk meningkatkan pembangunan modal insan berkualiti dalam sektor automotif dan tenaga hijau. Beliau turut menekankan betapa pentingnya kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekonomi negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga Selangor.

Akademi Bateriku bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah pusat latihan kemahiran, tetapi turut menjadi platform penting bagi usahawan muda melalui program BHero dan BPreneur. Dengan adanya inisiatif ini, Bateriku.com berharap dapat melahirkan generasi baru usahawan dalam industri automotif yang lebih mesra alam, selain menyokong kemampanan alam sekitar melalui program kitar semula bateri terpakai dan usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Selepas majlis perasmian, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor juga berpeluang melawat kemudahan Bateriku Garage (BGarage), di mana beliau meluangkan masa berinteraksi dengan tenaga pengajar, usahawan BPreneur, serta juruteknik mobil BHero yang telah menjalani latihan di akademi tersebut.

Dengan pelancaran ini, Bateriku.com berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam industri automotif negara. Melalui program-program latihan berfokuskan kemahiran teknikal yang canggih, Akademi Bateriku dijangka akan melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing, sekali gus membantu Malaysia menjadi peneraju dalam teknologi automotif dan tenaga boleh diperbaharui di peringkat global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *