Nostalgia Lama, Suasana Baru: Zazzleen Zulkafli Persembahkan Timeless 2.0

Penyanyi dan penghibur berbakat, Zazzleen Zulkafli, bakal kembali menyajikan persembahan eksklusif buat peminat menerusi Timeless 2.0, sebuah pengalaman muzik istimewa yang menampilkan lagu-lagu Melayu lama yang pernah popular suatu ketika dahulu, bertemakan “Let’s Bring Back the Malay Oldies Vibe”. Persembahan ini akan berlangsung pada 1 Februari 2026, jam 9.00 malam, di Liberallatte, Bukit Damansara, dan dianjurkan dengan kerjasama Alternate Records & Talents.

Timeless 2.0 merupakan showcase kedua Zazzleen, susulan sambutan menggalakkan serta permintaan tinggi daripada peminat selepas kejayaan persembahan sulungnya. Berbeza dengan edisi terdahulu, kali ini Zazzleen tampil dengan konsep yang lebih nostalgik menerusi dendangan lagu-lagu Melayu yang pernah menjadi siulan ramai pada zamannya. Persembahan ini bukan sahaja mengimbau kenangan manis, malah memberi ruang kepada penonton untuk turut sama menyanyi dan menghayati setiap lagu yang dipersembahkan.

Malam penuh nostalgia ini turut diserikan dengan penampilan khas Marygrace, pemenang program One In A Million (OIAM), dan Jimi Kamal, rakan seperjuangan dalam pertandingan tersebut. Puteri Khareeza juga bakal membuat kemunculan sulungnya selepas tamat tempoh berpantang. Kehadiran mereka dijangka menambah variasi persembahan, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang lebih istimewa bagi para penonton.

Selepas mencuri perhatian dalam dunia lakonan menerusi drama Anugerah Tanpa Cahaya dan Separuh Nafas Cinta, selain pengalaman sebagai pengacara rancangan Seram Jap di TV3, tahun 2026 menyaksikan Zazzleen kembali memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyiannya, sekali gus memperlihatkan sisi beliau sebagai penghibur serba boleh.

Orang ramai dijemput hadir ke Timeless 2.0, dengan tiket berharga RM90.00, untuk menikmati sebuah malam sarat dengan imbauan masa lalu dalam suasana intim, sambil meraikan keindahan lagu-lagu Melayu yang pernah popular dan mekar di hati pendengar.

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.