MR D.I.Y. Malaysia menyambut Tahun Baru Cina 2026 dengan pelancaran filem web perayaan terbaharu berjudul The Family Trial 2: Storm of Reunion, sebuah kisah ringan namun menyentuh hati yang mengangkat tema kekeluargaan, perdamaian dan pengorbanan sebagai teras penceritaan. Filem ini meneruskan komitmen MR D.I.Y. dalam menghasilkan kandungan perayaan yang dekat dengan realiti kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Filem web berdurasi kira-kira sepuluh minit ini dibintangi oleh pelakon terkenal TVB Hong Kong yang memenangi pelbagai anugerah, Kenneth Ma Kwok-ming. Ia merupakan kesinambungan kepada filem web MR D.I.Y. pada tahun 2025, The Family Trial, yang menerima sambutan hangat daripada penonton. Melalui penceritaan yang segar dan menghiburkan, filem ini meneruskan tradisi MR D.I.Y. dalam menyampaikan mesej perayaan yang bersifat inklusif dan bermakna.

Pertikaian keluarga yang dramatik antara dua beradik di mahkamah purba
The Family Trial 2: Storm of Reunion berlatarbelakangkan sebuah mahkamah purba yang unik, diinspirasikan daripada watak legenda Justice Pao. Kisah bermula dengan pertikaian dramatik antara dua beradik yang dibawa ke “mahkamah”, sekali gus mencetuskan pelbagai hujah dan situasi lucu yang mencerminkan konflik keluarga yang sering berlaku. Pendekatan penceritaan yang santai, disulami elemen budaya dan jenaka, berjaya menarik perhatian penonton sejak awal.
Ketika perbicaraan berlangsung, penceritaan beralih ke latar masa kini dan perlahan-lahan mendedahkan kebenaran di sebalik tuduhan yang dilemparkan. Salah faham yang terpendam sekian lama akhirnya terungkai apabila kedua-dua beradik menyedari kasih sayang yang tidak terucap, keprihatinan serta pengorbanan peribadi yang telah dilakukan masing-masing. Apa yang bermula sebagai konfrontasi akhirnya bertukar menjadi kefahaman, kemaafan dan pertemuan semula yang penuh emosi, sekali gus mengingatkan tentang pentingnya empati, komunikasi dan ikatan kekeluargaan, terutamanya di musim perayaan.

Pertemuan semula yang penuh emosi antara abang dan adik
Menurut Alex Goh, Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad, Tahun Baru Cina merupakan masa untuk berkumpul bersama keluarga, mengeratkan hubungan dan saling menghargai antara satu sama lain. Beliau berkata bahawa The Family Trial 2: Storm of Reunion mencerminkan detik-detik kecil namun bermakna yang membentuk hubungan kekeluargaan, dan melalui penceritaan yang lucu serta menyentuh perasaan, MR D.I.Y. berharap dapat mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kasih sayang, kefahaman dan kebersamaan merupakan perkara yang paling penting.
Dengan gabungan elemen jenaka, nostalgia dan emosi yang mendalam, The Family Trial 2: Storm of Reunion merangkumkan semangat Tahun Baru Cina sambil mengukuhkan komitmen MR D.I.Y. Malaysia untuk kekal dekat dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia. Filem ini mengajak penonton untuk menilai semula hubungan kekeluargaan masing-masing dan menghargai saat-saat kebersamaan dalam menyambut kedatangan Tahun Kuda.

Filem web MR D.I.Y. yang mendapat sambutan baik pada tahun 2025, ‘The Family Trial’
Filem web ini kini boleh ditonton menerusi saluran media sosial rasmi MR D.I.Y. Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Baru Cina 2026. Sejak pelancarannya, filem tersebut telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan mencatatkan lebih lima juta tontonan merentasi saluran media sosial MR D.I.Y. dalam tempoh kurang daripada tiga hari.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web MR D.I.Y. Malaysia atau ikuti jenama ini di Facebook, Instagram, TikTok, XiaoHongShu, X dan YouTube.