Malaysia Tersenarai Dalam 10 Ekonomi Kesejahteraan Teratas Asia Pasifik Bernilai AS$31.8 Bilion

Global Wellness Institute (GWI) hari ini mendedahkan data terbaharu yang mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu kuasa besar dalam industri kesejahteraan global, dengan nilai pasaran kesejahteraan negara kini dianggarkan mencecah AS$31.8 bilion. Pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan kukuh dan kedudukan strategik Malaysia dalam landskap ekonomi kesejahteraan dunia.

Menurut laporan 2025 yang diterbitkan dengan kerjasama Green Wellness Malaysia, Malaysia kini berada di kedudukan ke-10 daripada 45 negara di rantau Asia Pasifik dan di tangga ke-29 di peringkat global daripada keseluruhan 218 negara yang dinilai. Pengiktirafan ini meletakkan Malaysia sebaris dengan sepuluh pasaran terbesar di Asia merentasi beberapa kategori utama, termasuk hartanah kesejahteraan, aktiviti fizikal, kesejahteraan mental serta pelancongan kesejahteraan.

Laporan bertajuk The Global Wellness Economy: Malaysia turut menyoroti pertumbuhan pesat yang dicatatkan oleh beberapa sektor utama antara tahun 2019 hingga 2024. Sektor hartanah kesejahteraan muncul sebagai peneraju dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 13.5 peratus, diikuti oleh sektor kesihatan awam, pencegahan dan perubatan diperibadikan yang berkembang pada kadar 12.6 peratus. Sementara itu, sektor kesejahteraan mental mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus, diikuti spa pada kadar 6.7 peratus, aktiviti fizikal sebanyak 5.5 peratus, serta perubatan tradisional dan komplementari pada kadar 5.2 peratus.

Data terperinci mengenai pasaran kesejahteraan tempatan kini boleh diakses melalui platform Geography of Wellness yang dibangunkan oleh GWI menerusi kerjasama strategik bersama Green Wellness Malaysia. Sejak tahun 2012, Green Wellness telah aktif dalam pengedaran dan khidmat nasihat solusi kesejahteraan, selain menganjurkan Ekspo Kesejahteraan Antarabangsa atau International Wellness Expo (IWE) sebagai platform utama industri.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GWI, Susie Ellis, berkata Malaysia kini muncul sebagai penyumbang dinamik kepada ekonomi kesejahteraan global, berbekalkan kekuatan, peluang dan potensi unik dalam landskap industri ini. Beliau turut menyatakan keterujaan GWI untuk bekerjasama dengan Green Wellness Malaysia dalam menyediakan data ini buat julung kalinya, sekali gus memperkasakan usahawan, pelabur dan pembuat dasar bagi memacu pertumbuhan mampan di negara ini.

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Pengasas dan Pengarah Urusan Green Wellness Malaysia, Datin Dorph Peng, menyifatkan pelantikan sebagai Rakan Negara Global Wellness Institute bagi Malaysia sebagai satu pencapaian yang amat bermakna. Menurut beliau, penyertaan dalam inisiatif Geography of Wellness membolehkan pihaknya mengetengahkan pandangan yang disokong oleh data yang kredibel, sekali gus mencerminkan komitmen untuk mengangkat kedudukan Malaysia dalam ekonomi kesejahteraan global.

Beliau turut menambah bahawa melalui Ekspo Kesejahteraan Antarabangsa, pihaknya berhasrat menterjemahkan dapatan data ini kepada bentuk kerjasama dan tindakan yang lebih konkrit, dengan menghubungkan pihak berkepentingan serta menyokong pertumbuhan mampan ekonomi kesejahteraan Malaysia sebagai gerbang kesejahteraan bagi rantau ASEAN dan seterusnya.

Laporan tersebut juga menekankan kelebihan warisan budaya Malaysia yang berbilang kaum, merangkumi tradisi Melayu, Cina, India dan Orang Asli, yang membentuk satu ekosistem kesejahteraan unik. Daripada urutan Melayu tradisional dan Perubatan Tradisional Cina hingga kepada amalan Ayurveda India, kepelbagaian modaliti penyembuhan ini menawarkan pendekatan holistik yang menjadi kekuatan kompetitif negara.

Selain itu, kelebihan semula jadi Malaysia seperti hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun serta kewujudan mata air mineral panas turut menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan sektor pelancongan eko-kesejahteraan dan kesejahteraan perubatan yang semakin berkembang.

Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia berada dalam kelompok sepuluh teratas di rantau Asia Pasifik bagi ekonomi kesejahteraan keseluruhan, selain mencatat kedudukan sepuluh teratas bagi sektor hartanah kesejahteraan, pelancongan kesejahteraan, penjagaan diri dan kecantikan, serta aktiviti fizikal.

Untuk maklumat lanjut mengenai ekonomi kesejahteraan Malaysia, orang ramai boleh melayari laman khusus Geography of Wellness di laman web rasmi Global Wellness Institute.