Malaysia dan Microsoft Perhebat Kerjasama AI, Pacu Pembangunan Kemahiran Seluruh Negara

Kementerian Digital Malaysia dan Microsoft hari ini mengumumkan pelancaran Microsoft Elevate, sebuah inisiatif pembinaan kapasiti kecerdasan buatan (AI) yang diperluas dengan matlamat untuk mengukuhkan tahap kesediaan AI negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.

Kerjasama ini dirasmikan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, dan memperluas agenda pembangunan kemahiran negara dengan merangkumi golongan pendidik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pesara angkatan tentera, institusi pendidikan serta penjawat awam. Dilaksanakan bersama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Sekretariat Majlis TVET Negara serta Biji-Biji Initiative dan Mereka, usaha ini mencerminkan komitmen seluruh negara untuk memastikan setiap segmen masyarakat bersedia menghadapi era AI.

Microsoft Elevate bertujuan memperluas peluang peningkatan kemahiran di Malaysia melalui pelan berfasa sehingga tahun 2030, bermula dengan pengaktifan kemahiran dan tenaga kerja, diikuti pendalaman sektor, serta penginstitusian dan kemampanan jangka panjang. Sebagai sebahagian daripada fasa perintis yang dilancarkan pada Januari tahun ini, program ini telah berjaya memperkasakan seramai 80,000 peserta setakat ini.

Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen jangka panjang Microsoft terhadap pembangunan digital dan AI di Malaysia, termasuk usaha melengkapkan 800,000 rakyat dengan kemahiran AI menerusi inisiatif AIForMYFuture, serta program Bersama Malaysia yang telah memperkasakan 1.53 juta rakyat dengan kemahiran dalam bidang awan, AI dan keselamatan siber.

YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital Malaysia, berkata bahawa sejajar dengan usaha Malaysia untuk menjadi hab AI serantau, pembangunan keupayaan digital yang inklusif merentasi semua lapisan masyarakat adalah amat penting. Beliau menegaskan bahawa kemajuan bermakna di peringkat nasional memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, dan menyambut baik pelaksanaan Microsoft Elevate yang disokong oleh NAIO dan Sekretariat Majlis TVET Negara serta dilaksanakan oleh Biji-Biji Initiative dan Mereka dalam memperkukuh kesediaan AI serta keterangkuman digital.

Ketika organisasi menyesuaikan diri dengan cara kerja berasaskan AI, kekuatan tenaga kerja masa depan Malaysia bergantung kepada pembangunan kemahiran yang bermula sejak awal, dilaksanakan secara berterusan dan selari dengan keperluan dunia sebenar. Visi Negara AI 2030 mengiktiraf bahawa pembinaan sebuah negara berteraskan AI bukan sahaja memerlukan penggunaan teknologi, tetapi juga pembangunan insan yang memahami dan menggunakan AI dengan yakin, institusi yang mampu mengguna pakai AI secara bertanggungjawab dan berskala, serta ekosistem yang dapat memanfaatkan keupayaan AI untuk menghasilkan impak nyata.

Pendekatan menyeluruh ini menyasarkan pelbagai segmen masyarakat. Golongan pendidik dan institusi pengajian, daripada prasekolah hingga universiti termasuk TVET, akan dilengkapkan dengan kemahiran AI praktikal untuk mengintegrasikan teknologi tersebut dalam pengajaran, reka bentuk kurikulum dan keterlibatan pelajar. Sektor PMKS pula akan menerima latihan berfokus bagi mengguna pakai alat dan platform AI untuk meningkatkan operasi, keterlibatan pelanggan dan daya saing. Pesara angkatan tentera akan dibekalkan dengan kemahiran asas AI bagi menyokong peralihan mereka ke peranan awam dan komuniti, manakala pemimpin serta pengurusan institusi akan dilatih untuk menerajui penggunaan AI secara bertanggungjawab dalam organisasi masing-masing. Pada masa yang sama, pelajar dan belia akan dibangunkan dengan kemahiran asas dan praktikal yang relevan dengan keperluan dunia sebenar bagi membina bakat masa depan negara.

Rashvin Pal Singh, CEO Kumpulan Biji-Biji Initiative dan Mereka, menyatakan bahawa untuk memastikan AI benar-benar memberi impak, keupayaan tersebut perlu diterapkan secara praktikal dalam bilik darjah dan komuniti. Beliau menekankan bahawa melalui Microsoft Elevate, kerjasama rapat dengan NAIO, Sekretariat Majlis TVET Negara dan Microsoft membolehkan konsep AI diterjemahkan ke dalam amalan harian secara bertanggungjawab, inklusif dan relevan, sekali gus memastikan tiada pihak yang ketinggalan dalam usaha membina masa depan berteraskan AI.

Dr. Jasmine Begum, Pengurus Besar Hal Ehwal Undang-Undang dan Kerajaan Microsoft ASEAN, pula menegaskan bahawa AI hanya mampu menghasilkan nilai sebenar apabila masyarakat memahami cara menggunakannya secara bermakna dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian serta proses membuat keputusan. Menurut beliau, teknologi hanyalah pemangkin, manakala impak sebenar bergantung kepada bagaimana individu, organisasi dan institusi mengaplikasikan AI secara praktikal, dipercayai dan sesuai dengan keperluan dunia sebenar.

Beliau turut menjelaskan bahawa Microsoft Elevate dirangka untuk membina keupayaan pada skala besar dengan menyokong komuniti, perusahaan dan institusi sektor awam dalam mengguna pakai AI dengan yakin dan bertanggungjawab. Menerusi program ini, Microsoft berhasrat memastikan aspirasi AI Malaysia dapat direalisasikan melalui impak jangka panjang, dengan membuka lebih banyak peluang kepada individu untuk memperoleh kemahiran, akses dan sokongan yang diperlukan bagi berkembang dalam ekonomi berasaskan AI.

Microsoft Elevate merupakan inisiatif global oleh Microsoft yang bertujuan memperkasa komuniti melalui penyediaan kemahiran, pengetahuan dan alat berkaitan AI kepada individu serta organisasi. Inisiatif ini sedang dilaksanakan di beberapa negara di Asia Tenggara bagi menyokong usaha kerajaan dan institusi dalam mempersiapkan masyarakat menghadapi ekonomi yang dipacu oleh AI. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi program tersebut.