Filem The Voice of Hind Rajab mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 8 Januari 2026, mengangkat kisah kemanusiaan seorang kanak-kanak dari Gaza. Filem ini memberi fokus kepada usaha menyelamat, koordinasi misi bantuan, serta realiti konflik yang menguji nilai sejagat.
Sambutan awal penonton di Malaysia bermula pada malam tayangan perdana menunjukkan maklum balas yang sangat positif. Permintaan yang meningkat telah mendorong penambahan lokasi tayangan daripada 17 kepada 29 pawagam di seluruh negara, membuktikan rakyat Malaysia bersedia menyokong filem ini bukan sekadar sebagai tontonan, tetapi sebagai satu bentuk solidariti dan suara kemanusiaan.
Di peringkat antarabangsa, The Voice of Hind Rajab mencatat kejayaan luar biasa di Perancis, yang muncul sebagai pasaran dengan kutipan box office tertinggi, mencecah $2,389,340 sejak hari pertama tayangan pada 26 November 2025 (sumber: Box Office Mojo). Kejayaan ini membuktikan mesej yang dibawakan filem ini diterima merentasi sempadan agama, budaya, dan bahasa.
Kejayaan di Perancis menjadi penanda aras, meskipun umat Islam hanya membentuk sekitar 10 peratus daripada populasi negara itu. Sebaliknya, Malaysia, yang majoriti penduduknya sekitar 65 peratus beragama Islam dan lantang menyuarakan isu Palestin serta penentangan terhadap genosid, mempunyai keupayaan jauh lebih besar untuk mencipta impak melalui sokongan nyata penonton. Jika Perancis mampu mengangkat filem ini ke tahap kutipan tertinggi, Malaysia juga mampu membuktikan keseriusannya. Perancis telah membuktikannya, kini giliran Malaysia.
Malaysia selama ini dikenali sebagai negara yang konsisten menyokong isu kemanusiaan, khususnya berkaitan Palestin. Sokongan itu kini boleh diterjemahkan melalui tindakan yang jelas. Setiap tiket yang dibeli adalah suara penonton, satu bentuk sokongan, dan setiap pawagam yang penuh menjadi mesej bahawa Malaysia memilih untuk tidak berdiam diri. Media Prima turut menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.
Hayati inspirasi kisah benar yang menyentuh jiwa dan menyentak emosi ini di pawagam berdekatan anda. Jangan pernah berhenti; hari ini, kita menjadi suara mereka.