KPJ Healthcare dan Novo Nordisk Perkukuh Penjagaan Obesiti Berstruktur di Malaysia

KPJ Healthcare Berhad dan Novo Nordisk Malaysia hari ini merasmikan kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penjagaan berstruktur berasaskan hospital di Malaysia. Usaha ini selaras dengan peningkatan permintaan terhadap sokongan yang lebih selamat, terselaras dan dipantau secara perubatan untuk individu yang mengalami obesiti serta keadaan metabolik berkaitan. Kerjasama ini akan menyokong pembangunan Program Pengurusan Metabolik dan Berat Badan KPJ, iaitu model penjagaan berasaskan hospital yang menyediakan rawatan berstruktur, dipimpin pakar dan mengaplikasikan pendekatan multidisiplin dalam persekitaran penjagaan kesihatan terkawal.

Kerjasama ini dilaksanakan ketika Malaysia terus berdepan beban kesihatan obesiti dan metabolik yang ketara. Data saringan terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan seorang daripada dua orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan daripada 1.2 juta individu yang disaring, sekali gus menggambarkan skala dan keperluan mendesak untuk menangani isu ini. Selain itu, sebanyak 15.6 peratus orang dewasa, iaitu kira-kira satu daripada enam, hidup dengan diabetes, dengan sebahagian besar masih tidak menyedari keadaan mereka. Obesiti juga dianggarkan menelan kos melebihi RM64 bilion setahun melalui perbelanjaan kesihatan, kehilangan produktiviti dan kematian pramatang.

[Dari Kiri ke Kanan] Puan Patricia Tan, Pengarah Pemasaran Bersekutu Novo Nordisk
Pharma (M) Sdn Bhd (“Novo Nordisk), Encik Ahmad Rizal Che Wan, Pengarah Kewangan &
Operasi Bersekutu Novo Nordisk, Dr Praful Chakkarwar, Pengurus Besar Novo Nordisk,
Encik Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Dato’ Mohd Farid
Salim, Ketua Pegawai Operasi (Operasi Hospital) KPJ Healthcare dan Profesor Dato’ Dr
Hanafiah Harunarashid, Ketua Pegawai Perubatan KPJ Healthcare mengambil gambar
kenangan selepas majlis pelancaran Program Pengurusan Berat Badan KPJ.

Di bawah kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menyokong pembangunan laluan penjagaan yang lebih komprehensif dengan menggabungkan rundingan pakar, sokongan dietetik, panduan gaya hidup dan terapi perubatan yang bersesuaian secara klinikal. Pada fasa pertama, program ini dijangka diperkenalkan di 10 hospital KPJ, termasuk Ampang Puteri Specialist Hospital, Damansara Specialist Hospital, Damansara 2 Specialist Hospital, Ipoh Specialist Hospital, Johor Specialist Hospital, KPJ Klang Specialist Hospital, KPJ Penang Specialist Hospital, KPJ Selangor Specialist Hospital, Kuching Specialist Hospital dan Tawakkal Specialist Hospital, dengan perancangan pengembangan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan. Pesakit juga dijangka dapat mengakses program ini melalui laluan saringan kesihatan serta rujukan dalaman hospital.

Program ini akan menyatukan saringan kesihatan bersama profesional kesihatan sekutu merangkumi bidang endokrinologi, perubatan dalaman, pembedahan bariatrik, psikologi, fisioterapi, rehabilitasi, dietetik dan farmasi di bawah model penjagaan yang lebih tersusun. Penjagaan pesakit dalam laluan ini meliputi penilaian awal, saringan komposisi badan, semakan risiko metabolik, perancangan rawatan yang diperibadikan, kaunseling tingkah laku serta penjadualan susulan, dengan tempoh penjagaan lazim sehingga enam bulan bergantung kepada keperluan klinikal individu.

Encik Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare semasa
berucap di majlis pelancaran Program Pengurusan Berat Badan KPJ.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan, berkata obesiti merupakan penyakit kronik yang kompleks dan berkait rapat dengan pelbagai penyakit metabolik serta tidak berjangkit lain, justeru memerlukan pengurusan jangka panjang yang terselaras. Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini memperkukuh pendekatan penjagaan yang lebih berstruktur dan bersepadu di seluruh hospital KPJ, selaras dengan KPJ Health System yang menggabungkan kepakaran klinikal, sokongan kesihatan bersekutu dan intervensi berasaskan bukti dalam satu model penjagaan yang konsisten. Menurut beliau, usaha ini mencerminkan komitmen berterusan KPJ dalam menyediakan penjagaan berpusatkan pesakit yang mudah diakses, lestari dan berfokuskan hasil. Selain penjagaan pesakit, kerjasama ini turut meneroka aspek pendidikan klinikal serta komunikasi bertanggungjawab berkaitan pengurusan obesiti, termasuk penggunaan terapi berasaskan GLP-1 dalam persekitaran penjagaan kesihatan terkawal. Inisiatif ini dijangka merangkumi sesi Pendidikan Perubatan Berterusan dan kandungan pendidikan di media sosial, dengan fasa awal melibatkan 10 hospital KPJ serta 19 pakar endokrinologi perunding.

Encik Praful Chakkarwar, Pengurus Besar Novo Nordisk semasa berucap
mengenai Novo Nordisk di majlis pelancaran Program Pengurusan Berat Badan
KPJ.

Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Praful Chakkarwar, pula menyatakan bahawa obesiti merupakan penyakit kronik yang memerlukan pengurusan jangka panjang berasaskan bukti. Seiring peningkatan kesedaran di Malaysia, beliau menekankan kepentingan memastikan pesakit disokong melalui laluan penjagaan yang dipantau secara perubatan dengan kepakaran klinikal yang tepat serta susulan berterusan. Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama ini dapat menyumbang kepada penjagaan menyeluruh bagi individu yang mengalami obesiti, yang lazimnya melibatkan pelbagai keadaan kesihatan bertindih, serta mengiktiraf KPJ Healthcare sebagai rakan strategik yang signifikan dalam usaha tersebut.

Kerjasama ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang obesiti sebagai penyakit kronik yang boleh dirawat dalam kalangan pesakit, majikan dan masyarakat umum. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pakar klinikal dan kesihatan di Malaysia semakin menegaskan bahawa obesiti perlu diuruskan melalui pendekatan penjagaan jangka panjang yang menyeluruh, bukan sekadar intervensi sementara. Dengan menggabungkan kepakaran klinikal, sokongan berstruktur dan pendidikan yang bertanggungjawab, KPJ Healthcare Berhad dan Novo Nordisk Malaysia berharap dapat memajukan penjagaan obesiti secara mampan, berasaskan bukti dan memberi impak yang signifikan kepada rakyat Malaysia.