Konsert Gelombang Bahagiaku KL Sold Out

Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dipenuhi gelombang kasih dan harmoni apabila Atilia Haron berganding bahu dengan ibunya, legenda muzik tanah air Salamiah Hassan, dalam Konsert Gelombang Bahagiaku. Dianjurkan oleh Mujik Wand Production, konsert ini mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket habis terjual (sold out), dan penonton terpukau dari awal hingga akhir persembahan.

Dua Generasi, Satu Pentas

Bagi Atilia, ini adalah impian sejak kecil yang akhirnya menjadi nyata.
“Sejak dulu saya ingin jadi seperti mama. Malam ini saya dapat kongsi pentas bersamanya di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal. Projek ini bukan mudah kerana kami bermula tanpa penaja, tetapi berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, ia menjadi malam yang tidak akan saya lupakan,” kata Atilia penuh emosi.

Bagi Salamiah, konsert ini adalah detik bersejarah dalam kerjaya seninya yang sudah mencecah 55 tahun.
“Menyanyi bersama anak saya adalah hadiah paling indah. Saya bersyukur dan berharap dapat lakukan lebih banyak konsert bersama Atilia selepas ini,” ujarnya.

Persembahan Penuh Warna & Emosi

Malam itu dibuka dengan lagu “No Fruits For Today” oleh Atilia, sebelum beliau menghiburkan peminat dengan “Old Love”, “Rekah”, medley “Bodoh” & “Cinta Sampai Mati”, serta kolaborasi bertenaga bersama MonoloQue dalam “Kekanda Adinda”. Lagu “Bahagiaku”, “Salah Sangka”, “Sangkar”, “Sudah” dan “Selagi” turut menambah warna dalam setlistnya.

Salamiah pula tampil dengan variasi genre daripada lagu rancak “I’m So Excited”, balada “Surat Terakhir”, medley klasik, hinggalah ke lagu jazz “Frim Fram Sauce”. Duet romantis bersama Hardy Arbi melalui “Berdebar-Debar Rasa Hati” dan penutup penuh emosi dengan “Kenang Daku Dalam Doamu” membuat penonton berdiri memberi tepukan gemuruh.

Kehadiran artis undangan seperti Mimifly dan Elvira Arul menjadikan malam itu lebih istimewa. Peminat turut terhibur dengan duet sulung ibu-anak “Age Is Just The Number” serta persembahan klasik “Empat Dara” yang mencetuskan sorakan hangat seluruh dewan.

Kenangan Abadi & Harapan Baharu

Selain persembahan, suasana turut dihangatkan dengan merchandise konsert edisi terhad yang laris habis.
“Ini kali pertama kami hasilkan merchandise sendiri. Seronok bila nampak peminat pakai baju konsert sambil bergambar bersama kami,” kata Atilia sambil tersenyum.

Sebagai ikon seni, Salamiah tidak lupa menitipkan pesanan buat generasi muda.
“Penyanyi sekarang sangat berbakat, buat lagu sendiri, belajar vokal. Saya sudah 55 tahun dalam industri, tapi masih terus belajar. Seni adalah perjalanan tanpa penghujung,” katanya merendah diri.

Atilia pula menutup malam dengan tekad baharu:
“Tahun depan saya mahu kembali aktif di pentas. Malam ini membuktikan muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi yang tidak ternilai,” jelasnya penuh semangat.

Konsert “Gelombang Bahagiaku” bukan sekadar persembahan, tetapi perayaan kasih, warisan, dan muzik merentas generasi. – Tehtariktimes