Selepas mencuri perhatian menerusi teaser, poster rasmi, treler dan lagu tema yang diperkenalkan sejak beberapa minggu lalu, filem Khadam kini melangkah ke fasa terakhir sebelum tayangan umum menerusi Malam Tayangan Perdana yang berlangsung penuh gemilang malam tadi.
Menjelang tayangan rasminya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini, Khadam hadir sebagai sebuah karya sinematik yang mengangkat ketakutan paling dekat dengan masyarakat Melayu iaitu ketakutan terhadap warisan yang tidak boleh ditolak, kesetiaan yang diuji dan harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan.
Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam mengikuti perjalanan Melor, seorang ibu yang berusaha melindungi keluarganya daripada saka yang telah diwarisi turun-temurun. Namun semakin kuat usahanya mempertahankan keluarga, semakin besar harga yang perlu dibayar. Sedikit demi sedikit, Melor bukan sahaja kehilangan kawalan terhadap kehidupannya, malah berdepan kemungkinan kehilangan segala yang paling disayanginya.
Menurut pengarah Shamyl Othman, filem ini lahir daripada keinginan untuk meneroka sisi seram yang lebih dekat dengan kehidupan dan budaya masyarakat Melayu. Beliau menjelaskan bahawa dalam budaya Melayu terdapat dua jenis pewarisan iaitu pusaka yang berbentuk zahir dan saka yang berbentuk ghaib. Saka dipercayai diwarisi turun-temurun serta berperanan melindungi dan membantu tuannya, namun ia tidak boleh ditolak. Seseorang sama ada menerimanya dan menjadi tuannya atau berdepan risiko keluarga diporak-perandakan oleh entiti tersebut.
Tambah beliau, keseraman sebenar dalam filem ini bukan datang daripada saka itu sendiri, sebaliknya daripada akibat apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan tersebut. Di sebalik elemen seram yang dipaparkan, Khadam turut mengangkat persoalan tentang keluarga, trauma generasi, tanggungjawab dan makna cinta yang sebenar. Filem ini mengajak penonton merenung sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi melindungi keluarga sendiri.
Kekuatan naratif tersebut diperkukuhkan menerusi lakon layar hasil nukilan Fariza Azlina Isahak yang membina ketegangan melalui lapisan emosi, kesunyian dan konflik dalaman yang jarang diterokai dalam filem seram tempatan. Dengan menjadikan Melor sebagai watak yang kehilangan suara sama ada secara fizikal mahupun simbolik, filem ini membiarkan visual dan emosi mengambil alih peranan dialog dalam menyampaikan penderitaan serta perjuangannya sebagai seorang ibu.
Bagi Penerbit Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar, Khadam dibangunkan dengan satu matlamat yang jelas sejak awal pembangunan projek iaitu untuk menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan karya-karya serantau dan antarabangsa dari segi mutu pembikinan tanpa kehilangan identiti budaya yang menjadi tunjang penceritaannya.
Beliau menegaskan bahawa kualiti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap aspek pembikinan Khadam. Daripada pembangunan skrip, pengarahan, rekaan produksi, muzik, pasca produksi hinggalah pemilihan pelakon, setiap keputusan dibuat dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi standard yang ditetapkan sejak hari pertama. Mereka mahu menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton serta membuktikan bahawa cerita tempatan mempunyai keupayaan untuk dipersembahkan pada tahap yang tinggi.
Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, Khadam turut menghimpunkan rakan strategik dari seluruh rantau termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios dari Indonesia, Sil Metropole Organisation Ltd. dari Hong Kong, Applause Entertainment dari India serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas dari Malaysia dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam menghasilkan karya yang berakar pada budaya tempatan tetapi dibangunkan dengan skala dan aspirasi merentasi sempadan.
Menerajui naskhah ini ialah bintang Indonesia, Aghniny Haque, yang buat pertama kalinya membintangi sebuah produksi filem Malaysia menerusi kerjasama antarabangsa berskala besar sebagai Melor. Beliau digandingkan bersama Datuk Remy Ishak sebagai Awang dalam antara pasangan pelakon yang paling dinantikan tahun ini. Turut membarisi filem ini ialah Siti Khadijah Halim dan bakat baharu Karl’ El yang membuat penampilan sulung dalam dunia lakonan menerusi Khadam.
Filem ini turut diperkuatkan dengan persembahan Zarra Zhaff yang memegang watak penting dalam perkembangan naratif dengan kematangan emosi dan kehadiran layar yang mengagumkan. Potensinya menyerlah sebagai antara bakat muda yang wajar diberi perhatian dalam industri. Melengkapkan barisan pelakon ialah kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak, menjadikan Khadam sebuah karya yang menghimpunkan pengalaman, karisma dan generasi baharu yang sedang mencorakkan masa depan industri hiburan serantau.
Malam Tayangan Perdana yang berlangsung malam tadi turut mencerminkan dunia Khadam yang dibina dengan penuh teliti di layar perak. Ruang acara dihidupkan menerusi reka bentuk bunyi yang menggabungkan hujan, guruh dan lapisan audio yang membangkitkan rasa gelisah. Persembahan khas Ernie Zakri menerusi lagu tema rasmi Tak Berlagu menambah lagi dimensi emosi sebelum tayangan bermula.
Reaksi awal daripada penggiat industri, media dan tetamu jemputan selepas tayangan memperlihatkan sambutan yang amat memberangsangkan. Ramai memuji keberanian Khadam menggabungkan elemen seram, drama keluarga dan psikologi dalam sebuah naratif yang lebih matang. Kekuatan cerita, persembahan lakonan, rekaan bunyi serta keupayaan filem ini membina ketegangan tanpa bergantung kepada formula seram konvensional disebut sebagai antara kekuatan utama filem ini.
Sokongan pelbagai rakan jenama turut menyerlahkan skala penganjuran acara tersebut termasuk Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel Kuala Lumpur dan Hyatt House Hotel Kuala Lumpur sebagai rakan hospitaliti rasmi selain Per’l sebagai penaja minuman. Barisan pelakon digayakan oleh Mimpikita dan Kita&Co bagi sesi Tayangan Media pada sebelah petang sebelum malamnya mengenakan rekaan eksklusif daripada Behati untuk Malam Tayangan Perdana.
Dengan kisah yang berakar dalam budaya Melayu, nilai produksi bertaraf antarabangsa dan tema tentang keluarga, kehilangan serta pengorbanan yang dekat dengan kehidupan manusia sejagat, Khadam muncul sebagai antara filem tempatan paling dinanti tahun ini. Filem ini membuktikan kematangan industri perfileman tempatan yang terus berkembang dan berevolusi. Ia juga mencerminkan tahap produksi yang semakin berani serta bercita-cita tinggi dalam landskap filem Malaysia hari ini.
Mulai 11 Jun 2026, penonton akhirnya berpeluang memasuki dunia Khadam di lebih 120 pawagam seluruh negara menerusi pengedaran oleh GSC Movies dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama. Selepas tayangan di Malaysia, filem ini turut dijangka menemui penonton di pasaran serantau termasuk Singapura dan Indonesia.
Jika reaksi awal penonton menjadi petunjuk, ini adalah sebuah pengalaman sinematik yang wajar disaksikan sendiri. Kerana apabila lampu dewan kembali menyala, Khadam tidak sekadar berakhir di skrin. Ia terus tinggal dalam fikiran, perlahan-lahan mengganggu apa yang kita percaya tentang cinta, keluarga dan pengorbanan.
Saksikan treler Khadam di sini: https://youtu.be/4PycNrbjKcY
Ikuti perkembangan terkini menerusi akaun rasmi Khadam The Movie dan Primeworks Studios di TikTok, Threads, Instagram, Facebook serta YouTube.













