Beto Kusyairi kembali menggalas watak Cikgu Meor, simbol kekuatan, prinsip dan maruah dalam dunia persilatan. Dengan aura kepimpinan yang lebih matang serta penghayatan yang semakin mendalam, watak ini terus teguh mempertahankan warisan dan pegangan hidupnya. Beto membawa karakter Cikgu Meor sebagai seorang pengamal silat dari Taiping, Perak yang berhijrah ke Singapura dan berkhidmat sebagai pegawai dalam Pasukan Polis Singapura, sekali gus menghidupkan naratif yang sarat dengan keteguhan dan prinsip.
Memperkukuhkan lagi penceritaan, Gayong 2 turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda dan Syafiq Naswip. Nabila Huda hadir dengan emosi yang lebih berlapis dan intens, membawakan konflik yang tajam serta menyentuh jiwa, manakala Syafiq Naswip melengkapkan keseimbangan melalui watak yang jujur dan penuh keteguhan, menjadikan perjalanan cerita lebih dekat dan realistik kepada penonton.

Dalam masa yang sama, Gayong 2 membuka lembaran baharu dengan kehadiran wajah-wajah segar seperti Sandra Lim, Fauzi Laily dan Bobby Tonelli. Kehadiran mereka bukan sekadar pelengkap, sebaliknya membawa tenaga, dinamika serta warna baharu yang memperkayakan penceritaan. Gabungan pelakon lama dan baharu ini menjadikan keseluruhan naratif lebih hidup, lebih besar dan sarat dengan momen mendebarkan.
Filem ini hadir dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran dan diarahkan oleh Faisal Ishak, yang membawakan penceritaan penuh emosi, aksi serta warisan budaya. Lebih daripada sekadar filem aksi, Gayong 2 menyorot perjuangan, maruah dan warisan yang terus dipertahankan, dengan setiap watak membawa kisah tersendiri yang menjadikan setiap detik di layar lebih bermakna.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Gayong 2 di pawagam bermula 9 April ini. Naskhah ini bukan sahaja menghiburkan, malah berupaya meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, sekali gus menawarkan pengalaman yang wajar dirasai di layar perak, khususnya sempena musim perayaan.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti kami di media sosial melalui Facebook, X, Instagram serta saluran YouTube Primeworks Studios.












