KamiSempoi Golden Award 2025 bakal kembali untuk tahun keempat berturut-turut bagi mengiktiraf, menghargai dan meraikan pencapaian pencipta kandungan digital serta hos TikTok LIVE.
Anugerah anjuran KamiSempoi International Agency itu akan berlangsung pada 28 Ogos 2026 di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan.
Penganjuran tersebut turut mendapat tajaan daripada M Route dan MK Media Studios.
Sebagai antara agensi TikTok LIVE utama di Malaysia, KamiSempoi International Agency terus memainkan peranan dalam membangunkan bakat, memperkukuh komuniti penstriman langsung dan membuka lebih banyak peluang dalam ekonomi digital.
Penganjuran kali ini menyediakan 21 kategori pengiktirafan untuk meraikan pencapaian pelbagai pihak dalam ekosistem KamiSempoi.
Sebanyak 13 kategori dikhususkan kepada hos LIVE, manakala tiga kategori disediakan untuk subagensi.
Kategori lain merangkumi Gifter, Main Sponsor, Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency merangkap hos TikTok LIVE, Chin Swee berkata, acara itu bukan sekadar memberikan pengiktirafan, tetapi turut meraikan usaha semua pihak yang membangunkan ekosistem agensi berkenaan.
“KamiSempoi Golden Award diadakan untuk menghargai semua pihak dalam ekosistem kami.
“Bukan sahaja hos LIVE, tetapi juga subagensi, gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut diharapkan dapat menjadi motivasi kepada lebih ramai hos untuk meningkatkan prestasi mereka.
Kini, KamiSempoi International Agency mempunyai kira-kira 4,300 hos LIVE di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.
Pertumbuhan komuniti tersebut mencerminkan perkembangan industri penstriman langsung yang semakin mendapat tempat sebagai sebahagian daripada ekonomi digital.
Pemilihan hos yang bakal menghadiri malam anugerah dibuat berdasarkan pencapaian diamond, prestasi LIVE, komitmen dan perkembangan mereka dalam ekosistem agensi.
Chin Swee berkata, pemilihan tidak dibuat berdasarkan populariti semata-mata kerana pihaknya mahu memastikan setiap penerima mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Antara perkara yang kami lihat ialah diamond achievement dan live achievement.
“Ia bukan semata-mata kerana seseorang itu popular, tetapi kerana mereka benar-benar menunjukkan prestasi dan usaha,” katanya.
Pendekatan tersebut penting untuk membentuk budaya kerja yang lebih berorientasikan pencapaian dalam kalangan hos penstriman langsung.
Penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 turut mencerminkan perkembangan berterusan agensi berkenaan sebagai antara pemain utama dalam industri TikTok LIVE di Malaysia dan Asia Tenggara.










